BISNES

Agrobank laksana semakan menyeluruh susulan insiden sistem dalaman

Bernama 14/11/2025 | 00:40 MYT
Agrobank juga bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia dan agensi penguatkuasaan, bagi memastikan aspek keselamatan dan integriti sistem sentiasa terpelihara.
KUALA LUMPUR: Agrobank sedang melaksanakan siasatan menyeluruh susulan insiden berkaitan sistem dalaman bank itu, baru-baru ini.

Agrobank dalam kenyataan memaklumkan bahawa semakan itu menunjukkan bahawa tiada dana pelanggan dan data pelanggan yang terjejas, manakala Perkhidmatan Perbankan Mudah Alih dan Perbankan Dalam Talian Agrobank kekal beroperasi seperti biasa.

"Tindakan telah diambil untuk terus memperkukuh keselamatan sistem dalaman dan penyampaian perkhidmatan perbankan kami," menurut kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan itu, Agrobank juga bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi penguatkuasaan, bagi memastikan aspek keselamatan dan integriti sistem sentiasa terpelihara.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Agrobank akan terus memantau situasi itu dan mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan keselamatan sistem perbankan.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Agrobank di 1-300-88-2476 atau e-mel customer@agrobank.com.my untuk sebarang pertanyaan.

-- BERNAMA

#AgroBank #integriti #sistem dalaman #data pelanggan