KUALA LUMPUR: Keperluan modal pada awal musim penanaman serta risiko kerugian akibat bencana alam dan serangan penyakit tanaman menjadi antara cabaran yang dihadapi para pesawah.
Sehubungan itu, Agrobank menyalurkan RM70 juta pembiayaan padi setakat 20 Oktober 2026 sekali gus memberi manfaat kepada hampir 10,000 pesawah di seluruh negara.
Kemudahan itu membantu pesawah menampung kos pembelian input pertanian dan operasi sepanjang musim penanaman, selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber pembiayaan tidak formal.
Menerusi pembiayaan padi Agrobank, pesawah boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh maksimum enam bulan untuk setiap musim penanaman dengan kadar keuntungan antara satu hingga 3.25 peratus semusim.
Kemudahan itu ditawarkan sehingga lima tahun dan boleh diperbaharui, tertakluk pada penilaian, kelulusan serta terma dan syarat yang ditetapkan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sokongan kepada pesawah perlu merangkumi akses kepada pembiayaan dan perlindungan bagi membantu mereka mengurus risiko serta mengekalkan pendapatan.
“Pembiayaan yang bersesuaian dan perlindungan takaful dapat membantu pesawah mengurus risiko, meneruskan aktiviti penanaman selepas mengalami kerugian serta membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh.
“Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menjaga kebajikan pesawah dan memastikan mereka dapat terus menyumbang kepada pengeluaran padi serta keterjaminan makanan negara,” katanya menerusi sebuah kenyataan media pada Khamis.
Pada 2025, Agrobank menyalurkan RM111.63 juta menerusi kemudahan pembiayaan padi bagi membantu pesawah memenuhi keperluan modal dan operasi.
Selain pembiayaan, Agrobank turut menawarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dengan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam, serta sehingga RM1,500 sehektar bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.
Setakat ini, manfaat perlindungan berjumlah RM51,956,633 telah disalurkan menerusi STTP kepada pesawah di seluruh negara bagi membantu mengurangkan kesan kerugian tanaman.
Agrobank komited untuk terus menyediakan sokongan kewangan dan perlindungan yang bersesuaian bagi memperkukuh daya tahan pesawah serta memastikan kelangsungan industri padi negara.