Skip to main content

Bisnes

AI, wang digital dijangka membentuk semula sistem kewangan

41651652687_TBDigitalEconomy.jpg
Wang digital membolehkan ejen AI bukan sahaja membuat keputusan, malah melakukan transaksi, menyelesaikan obligasi atau tanggungjawab kewangan. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemunculan sistem berejen autonomi yang dipacu kecerdasan buatan (AI) berpotensi  memberi kesan yang lebih besar kepada sistem kewangan apabila digabungkan dengan wang digital seperti stablecoin, deposit bertoken atau token deposit.

Menurut Moody's Ratings, apabila sistem berejen autonomi berkembang daripada alat sokongan untuk membuat keputusan kepada pelaku ekonomi yang mampu bertindak sendiri, penglibatan yang cekap di pelbagai platform akan memerlukan infrastruktur pembayaran yang saling beroperasi dan boleh dibaca oleh mesin.

"Wang digital membolehkan ejen AI bukan sahaja membuat keputusan, malah melakukan transaksi, menyelesaikan obligasi atau tanggungjawab kewangan, dan menyelaras pemindahan nilai dengan lebih cekap dalam persekitaran digital," menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut agensi penarafan itu, wang digital berpotensi untuk mengubah ejen AI daripada sekadar alat yang menyarankan tindakan, kepada pelaku ekonomi yang diberi kuasa untuk memulakan proses pembayaran, menguruskan mudah tunai dan menyediakan cagaran dan menyelesaikan obligasi kewangan.

Moody's Ratings bagaimanapun memaklumkan, kuasa yang diberikan kepada ejen AI masih tertakluk kepada mandat, had, semakan pematuhan dan peraturan penyelesaian transaksi.

Menurutnya gabungan ejen AI dan wang digital berpotensi memberi pelbagai kegunaan kepada institusi termasuk mengautomasikan pengurusan perbendaharaan, penyediaan cagaran, penyelesaian urus niaga pasaran modal, pembiayaan perdagangan, rantaian bekalan, pembayaran rentas sempadan serta aliran kerja e-dagang.

"Stablecoin, deposit bertoken dan token deposit membolehkan ejen mendapat akses berterusan kepada nilai serta kebolehoperasian manakala peraturan yang ditetapkan memastikan proses kebenaran, pematuhan dan penyelesaian transaksi dilaksanakan dengan teratur.

"Apabila semakin banyak aset menjadi token, ejen akan berupaya menyelaras keseluruhan proses kewangan secara masa nyata," menurutnya.

Moody's Ratings turut menekankan bahawa ejen AI memperluas pendedahan risiko merentasi aspek kewangan, teknologi, operasi dan kawal selia.

Menurutnya pemberian akses kepada ejen AI terhadap wang digital akan meningkatkan risiko dari segi kewangan, keselamatan siber, operasi, kawal selia dan undang-undang.

Risiko itu termasuk pengeluaran mudah tunai secara besar-besaran, tingkah laku ejen yang saling mempengaruhi, serangan suntikan arahan terhadap AI, pencerobohan kepada antara muka atur cara aplikasi (API), kelemahan dalam proses kebenaran serta liabiliti yang tidak jelas.

"Sehubungan itu, kawalan yang kukuh termasuk kerangka ‘know-your-agent,’ had transaksi, jejak audit, pemantauan masa nyata serta mekanisme penglibatan manusia adalah penting," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement