AirAsia 'berperang' dengan MAHB, kali ini tentang cukai PSC tertunggak

Ibrahim Sani
Disember 3, 2018 01:28 MYT
AirAsia telah berkali-kali menentang kadar kenaikkan cukai PSC ke RM73 setiap penumpang / Gambar Fail
Satu pergelutan perundangan sedang berlaku antara syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Kali ini, ia berkenaan tunggakan cukai oleh AirAsia kepada MAHB.
Pada bulan Oktober 2018, MAHB telah menghantar surat kepada AirAsia dan AirAsia X untuk membayar cukai tunggakan lapangan terbang bagi penerbangan antarabangsa.
Tunggakan tersebut adalah dari 1 Julai 2018 ke atas.
Menurut MAHB, cukai telah ditetapkan sebanyak RM73 setiap penumpang, tetapi AirAsia hanya mengutip RM50 seorang.
Cukai RM73 itu adalah cukai perkhidmatan penumpang, atau Passenger Service Charge (PSC).
AirAsia telah menentang secara dasar, kenaikan caj PSC ini sejak diumumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2017. Kutipan RM50 setiap penumpang oleh AirAsia berbentuk satu ‘protes’ terhadap kadar kenaikan caj PSC ini kepada setiap penumpang.
Pihak MAHB mendesak AirAsia untuk membayar perbezaan RM23 setiap penumpang itu.
Angka yang timbul hasil permintaan MAHB untuk AirAsia membayar RM23 setiap penumpang itu dianggap tidak membebankan syarikat penerbangan itu, kerana kadar keuntungan untuk AirAsia, dan anak syarikat penerbangan jauh mereka AirAsia X jauh lebih menguntungkan.
Dalam satu wawancara bersama FMT, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata 'kutipan cukai yang rendah akan menjejaskan pendapatan kerajaan'.
“MAHB sendiri harus membayar kepada kerajaan. Sebanyak 11.8 peratus dari kutipan pendapatan MAHB diberi ke kerajaan dalam bentuk user fee.
“Kadar ketetapan PSC ditentukan oleh kerajaan, dan dikenakan kepada semua syarikat penerbangan,” kata Raja Azmi lagi.
Tetapi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes telah mengambil keputusan untuk mengkritik MAHB tentang isu cukai tertunggak ini.
“Kenyataan terbaru yang dibuat oleh (Raja Azmi) menunjukkan beliau tidak faham dengan industri penerbangan kos rendah ini,” kata Tony melalui laman twitternya.
“Sebab AirAsia kekalkan harga rendah adalah untuk meningkatkan permintaan. Pendapatan MAHB akan terjejas dengan teruk sekiranya AirAsia gagal dalam perkhidmatan kami,” tambah beliau lagi.

The latest article by ACTING CEO of Mahb shows why the low cost industry needs new operators of low cost airports. Remember when there was only full service airlines . Only few people flew . Now because of low fares everyone can fly so even more can fly if airport tax was low.

— Tony Fernandes (@tonyfernandes) December 1, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tony juga memberi sepatah dua nasihat kepada MAHB.
“Jika MAHB ada cukai penerbangan rendah, pastinya pendapatan MAHB akan bertambah,” katanya.
Isu ini akan merumitkan lagi perbincangan antara MAHB dengan AirAsia.

If malaysia airports looked at their profit and loss most profits came from KLIA 2 and airasia and they took those profits and lost it in turkey and India. Its not other airports in Malaysia its your foreign JV. And if you reduced tax profit would grow form volume #bemused

— Tony Fernandes (@tonyfernandes) December 1, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Akhbar The Edge melaporkan bahawa terdapat kemungkinan pergelutan antara dua pihak itu akan berlarutan dan kemungkinan akan ke mahkamah, terutamanya jika AirAsia tetap berdegil dan tidak mahu membayar tuntutan cukai seperti diminta oleh MAHB.
Kedua syarikat penerbangan ini telah memenangi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik di dunia, dan sehingga kini, AirAsia dan AsiaAsia X bersama-sama telah membawa lebih 12 juta penumpang bagi tahun ini. Disebabkan operasi mereka yang baik, AirAsia juga mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi untuk tahun ini berbanding dengan tahun sebelumnya.
#AirAsia #Airasia X #airports #CEO #cukai #KLIA #MAHB #mahkamah #penerbangan #penerbangan Malaysia #raja azmi #raja nazuddin #the edge #Tony Fernandes