GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
BISNES

AirAsia serius pertimbang beli pesawat COMAC dari China - Tony Fernandes

Agensi 03/10/2025 | 03:30 MYT
Fernandes tidak mendedahkan jumlah pesawat yang bakal ditempah, jadual penghantaran atau harga, sebaliknya memaklumkan proses penilaian masih dijalankan. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, AirAsia mengesahkan sedang mengadakan rundingan pada peringkat akhir dengan pengeluar pesawat China, Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC), bagi menambah pesawat badan sempit ke dalam armadanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perbincangan itu berlangsung secara aktif dan serius.

“Kami benar-benar serius dengan COMAC. Ia satu langkah besar ke hadapan. Kami sangat teruja dengan keputusan ini,” katanya seperti dilaporkan portal berita CNA.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah pesawat yang bakal ditempah, jadual penghantaran atau harga, sebaliknya memaklumkan proses penilaian masih dijalankan.

Fernandes turut berkongsi pengalaman beliau menaiki pesawat COMAC yang dikendalikan syarikat penerbangan milik kerajaan China serta melawat kilang pembuatan syarikat itu.

“Pesawat mereka telah digunakan dengan sukses di China. Saya lihat sendiri komitmen dan semangat di kilang mereka. Produk ini bagus dan sesiapa yang tidak mempertimbangkannya bakal rugi pada masa depan,” jelasnya.

China merupakan antara pasaran terbesar AirAsia di peringkat antarabangsa dengan 23 destinasi kini beroperasi.

Namun Fernandes menegaskan, keputusan membeli pesawat China bukan kerana syarikat itu beroperasi di negara berkenaan, tetapi kerana faktor kualiti dan harga.

“Mereka menghasilkan teknologi hebat – kereta, telefon pintar, cip – dan kini pesawat. Tambahan pula, COMAC meningkatkan kapasiti pengeluaran, sekali gus menjanjikan penghantaran lebih cepat,” ujarnya.

AirAsia kini mengendalikan armada 100 peratus Airbus dengan 255 pesawat, namun menghadapi kelewatan penghantaran akibat masalah rantaian bekalan global.

Syarikat itu turut dilaporkan menilai pesawat Embraer E2 dari Brazil bagi laluan jarak dekat serantau.

Cabaran dominasi Airbus dan Boeing

COMAC, yang sebelum ini terhad kepada pasaran domestik, kini berhasrat mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Beberapa syarikat penerbangan di Asia Tenggara seperti TransNusa (Indonesia), Vietjet (Vietnam) dan Lao Airlines telah mengoperasikan pesawat COMAC ARJ21.

GallopAir yang berpangkalan di Brunei juga menandatangani perjanjian bernilai AS$2 bilion untuk membeli 30 pesawat COMAC, termasuk C919 yang bersaing secara langsung dengan Airbus A320 dan Boeing 737.

COMAC menyasarkan penerbangan komersial pertama C919 dari China ke Asia Tenggara bermula tahun depan sebagai langkah awal menembusi pasaran global.

Impian hab tambang rendah serantau

Dalam wawancara dengan CNA, Fernandes turut berkongsi hasrat membangunkan hab penerbangan tambang rendah di rantau ini, berpusat di Kuala Lumpur dan Bangkok.

“Kami mahu bina hab seperti Dubai, tetapi untuk tambang rendah. Tiada siapa pernah wujudkan hab sebegitu. Saya mahu orang ramai mampu terbang lebih jauh melalui sambungan penerbangan jarak dekat,” katanya.

Mengulas kedudukan AirAsia pasca pandemik COVID-19, Fernandes berkata, syarikat itu masih dalam proses menyusun semula pesanan pesawat.

Dalam masa sama, beliau optimis proses itu dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan akan datang sebelum membuat pengumuman rasmi mengenai pesawat COMAC yang bakal dibeli. - CNA


#AirAsia #pesawat COMAC #pesawat buatan china #Tony Fernandes