Skip to main content

Bisnes

AirAsia X jangka tambang penerbangan turun susulan kos bahan api rendah

SEPANG, 1 Julai -- Rakaman gambar pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ketika tinjauan bersempena pelancaran laluan baharu AirAsia X ke Nairobi, Kenya, hari ini.
AirAsia X menjangkakan dapat memulihkan sebahagian besar daripada kapasitinya yang telah dikurangkan menjelang akhir Ogos 2026. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd menjangkakan tambang penerbangan diturunkan secara beransur-ansur susulan harga bahan api jet yang rendah baru-baru ini, di samping memulihkan semula kapasiti yang sebelum ini dikurangkan ketika harga bahan api melonjak akibat konflik di Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu telah menurunkan tambang sebanyak lima peratus pada 15 Jun dan akan terus menyemak semula harga tiket setiap minggu selaras dengan pergerakan harga bahan api.

“Harga bahan api telah menurun dan industri ini terkesan dengan ketara akibat peningkatan harga bahan api sebelum ini. Jadi diharapkan segala-galanya di Asia Barat akan menjadi lebih baik dan kita boleh terus melangkah ke hadapan segera selepas itu. Saya juga menyaksikan permintaan kembali meningkat sepanjang hujung minggu lalu.

“Saya nampak ramai orang mula menempah penerbangan dan kami telah menurunkan tambang sebanyak lima peratus pada 15 Jun serta sedang menyemak semula tambang secara berperingkat dari minggu ke minggu. Apabila harga bahan api terus menurun, kami juga akan menyelaraskan semula tambang kami,” katanya semasa Sesi Taklimat Tinjauan Penerbangan AirAsia hari ini.

Walaupun berdepan harga bahan api yang tinggi dan gangguan global, Bo berkata AirAsia masih mengekalkan faktor muatan yang kukuh pada kadar 83 peratus dari Januari hingga Mei tahun ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu mengalami kerugian sebanyak RM150 juta pada Mac 2026 akibat kenaikan mendadak harga bahan api.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan keuntungan dan daya tahan operasi, Bo berkata AirAsia meluangkan masa sepanjang tiga bulan lalu untuk menilai semula rangkaian laluannya, menggantung laluan yang kurang berprestasi dan mempertingkatkan langkah-langkah pengurusan kos.

Beliau menambah syarikat penerbangan itu turut mempercepatkan aktiviti penyelenggaraan dan usaha pengoptimuman barisan pesawatnya, termasuk persaraan secara berperingkat pesawat lama yang mempunyai penggunaan bahan api serta kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.

“Kami juga akan memulangkan semua pesawat lama, iaitu pesawat yang berusia 16 hingga 17 tahun. Terdapat kira-kira 12 pesawat yang akan kami pulangkan tahun ini.

“Jadi dengan ketibaan pesawat Airbus A321LR (Jarak Jauh), kami akan memastikan laluan kami diperkemas dan rangkaian kami dioptimumkan kerana pesawat lama menggunakan lebih banyak bahan api, menjadikannya sia-sia untuk disimpan. Kos penyelenggaraannya juga adalah lebih tinggi,” katanya.

Bo berkata AirAsia X akan menerima tujuh lagi pesawat Airbus A321LR tahun depan selepas menerima dua buah pesawat tahun ini, sekali gus membolehkan syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat yang lebih cekap bahan api bagi laluan jarak sederhana dan jauh.

Sementara itu, Bo berkata AirAsia X menjangkakan dapat memulihkan sebahagian besar daripada kapasitinya yang telah dikurangkan menjelang akhir Ogos 2026.

“Apa yang kami lakukan sekarang adalah untuk mengembalikan semula penerbangan yang sebelum ini dikurangkan kapasitinya. Apabila permintaan kembali naik, kami akan meningkatkan semula kapasiti itu ke tahap asal secara beransur-ansur,” katanya.

Beliau menambah kumpulan itu kekal komited terhadap rancangan pertumbuhannya, termasuk laluan ke Bahrain dan London yang dijadualkan bermula pada Ogos 2026.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement