BISNES
AirAsia X rancang jadikan rantau Asia Tengah fokus utama bagi peluasan rangkaian

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail (kiri) bersama Duta Besar Uzbekistan di Malaysia, Karomidin Gadoev, semasa merasmikan laluan baharu ke Tashkent, Uzbekistan di AirAsia RedQ hari ini. - Foto BERNAMA
SEPANG: Syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana, AirAsia X Bhd merancang menjadikan rantau Asia Tengah sebagai fokus utama bagi peluasan rangkaian penerbangannya, disokong potensi permintaan pasaran yang tinggi dan kurang diteroka syarikat penerbangan komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata setakat ini pihaknya menawarkan penerbangan ke Almaty, Kazakhstan sejak Mac 2025, dan Tashkent, Uzbekistan bermula Oktober ini, manakala satu lagi laluan baharu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.
"Pasaran Asia Tengah masih sangat kurang mendapat perkhidmatan. Tidak banyak syarikat penerbangan pergi ke sana. Seperti anda tahu, contohnya Almaty dulu, ketika tiada (penerbangan) AirAsia X, penerbangan akan mengambil masa 18 jam untuk ke sana, dengan Airasia X (penerbangan langsung) hanya lapan jam sahaja.
"Saya rasa fokusnya rantau ini, kita telah mula dari Almaty dan kita ada satu lagi laluan yang kita sedang rancang...Kita meninjau Turkiye, Azerbaijan dan negara Asia Tengah lain, dan harapnya, insya-Allah. Ini akan menjadi platform untuk kita terbang seterusnya ke Eropah," katanya di sini, pada Isnin.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran laluan baharu ke Tashkent, Uzbekistan.
Benyamin berkata Asia Tengah bukan sahaja menawarkan tarikan kos pelancongan yang lebih rendah malah juga memiliki nilai sejarah dan budaya Islam yang menarik untuk pasaran Malaysia.
Pelancaran laluan Kuala Lumpur-Tashkent merupakan satu pencapaian strategik dalam usaha berterusan AirAsia X untuk berkembang di seluruh Asia dan seterusnya, katanya.
Beliau berkata Asia Tengah mempunyai potensi besar di samping ekonomi Uzbekistan yang terus berkembang pesat serta golongan pertengahan semakin meningkat dan berminat untuk meneroka destinasi baharu.
"Kami telah menyaksikan peningkatan permintaan pelancongan ke Asia Tengah yang ketara susulan pencapaian menakjubkan terhadap laluan ke Almaty.
"Visi kami adalah untuk menawarkan rangkaian menyeluruh bagi menyokong pembangunan serantau serta menghubungkan para pengembara ke destinasi baharu di samping mencipta pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan," katanya.
Sementara itu, Duta Besar Uzbekistan di Malaysia, Karomidin Gadoev berkata penerbangan terus AirAsia X ke Tashkent merupakan satu perkembangan penting dalam hubungan Uzbekistan-Malaysia.
"Memandangkan sektor pelancongan Uzbekistan yang berkembang pesat dan kedudukan kukuh Malaysia sebagai hab pelancongan dan perniagaan di Asia Tenggara, laluan ini akan meningkatkan lagi kesalinghubungan, merancakkan pertukaran pelancongan, serta menawarkan peluang baharu untuk pelaburan.
"Kami amat berbesar hati menyambut kehadiran AirAsia X ke pasaran yang berpotensi ini dan berharap kerjasama ini akan memberikan hasil positif," katanya.
Menurut kenyataan AirAsia X, pelancong kini berpeluang menikmati keindahan Tashkent dengan tambang promosi bermula daripada RM99 untuk tempat duduk ekonomi dari 23 Jun, 2025 hingga 29 Jun, 2025 bagi tempoh perjalanan 15 Okt, 2025 hingga 14 Sept, 2026.
Tashkent terletak di tengah-tengah Uzbekistan adalah bandar pesat membangun dan terkenal dengan seni bina Islam, bazar serta taman hijau yang indah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami