Skip to main content

Bisnes

AirBorneo sasar mulakan penerbangan Kuching-Jakarta pada Oktober

Megat Ardian berkata AirBorneo telah menerbangkan 43,502 penumpang menerusi kira-kira 500 penerbangan jet sejak Julai, dengan mencatatkan kadar ketepatan masa melebihi 95 peratus. - Gambar fail/Bernama
Megat Ardian berkata AirBorneo telah menerbangkan 43,502 penumpang menerusi kira-kira 500 penerbangan jet sejak Julai, dengan mencatatkan kadar ketepatan masa melebihi 95 peratus. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

JAKARTA: AirBorneo Airways milik Sarawak merancang melancarkan penerbangan terus antara Kuching dengan Jakarta pada bulan ini sebagai laluan antarabangsa keduanya, dengan memanfaatkan pasaran sedia ada sekitar 100,000 penumpang setahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk menarik penumpang yang kini menggunakan perkhidmatan sedia ada, selain memperluas permintaan menerusi penambahan kapasiti dan pilihan perjalanan premium termasuk kelas perniagaan.

“Jadi, dengan lebih banyak kapasiti dalam pasaran, terdapat juga pemain yang menawarkan produk perkhidmatan penuh. Oleh itu, terdapat segmen pasaran kelas perniagaan yang mungkin berminat untuk terbang bersama AirBorneo,” katanya pada sesi meja bulat bersama media di sini pada Jumaat.

Megat Ardian berkata perkhidmatan ke Jakarta yang dicadangkan itu pada peringkat awal akan menggunakan dua pesawat jet pajakan sedia ada milik syarikat penerbangan itu secara bergilir-gilir, sementara menunggu rancangan untuk menambah jumlah pesawat jet kepada lima buah menjelang awal tahun hadapan.

“Menjelang awal tahun depan, kami sepatutnya mempunyai lima pesawat secara keseluruhan. Jadi, kami sedang berkembang. Pada peringkat awal kami menggunakan pesawat pajakan, kemudian beralih kepada pajakan kewangan dan dalam jangka panjang, kami akan menentukan sama ada untuk terus memajak atau memiliki pesawat sendiri,” katanya.

Menyuarakan keyakinan terhadap pasaran Indonesia, Megat Ardian berkata AirBorneo akan menyasarkan pelbagai segmen penumpang, termasuk pengembara untuk urusan perniagaan dan kerajaan, pelancong perubatan, pelancong rekreasi, serta mereka yang ingin mengunjungi rakan dan saudara-mara.

Beliau berkata Jakarta akan menjadi pintu masuk permulaan syarikat penerbangan itu ke Indonesia, manakala bandar-bandar lain mungkin dipertimbangkan apabila operasinya berkembang dan permintaan penumpang meningkat.

Pada masa ini, AirBorneo mengendalikan pesawat Boeing 737-800 yang disewa secara 'wet-lease' (sewaan pesawat berserta kru dan penyelenggaraan), dengan setiap pesawat dilengkapi 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 tempat duduk kelas ekonomi.

Syarikat penerbangan itu memulakan operasi pesawat jet pada 20 Julai menerusi laluan Kuching-Kuala Lumpur, diikuti laluan Kuching-Singapura pada 22 Julai, yang menandakan laluan antarabangsa pertamanya.

Megat Ardian berkata AirBorneo telah menerbangkan 43,502 penumpang menerusi kira-kira 500 penerbangan jet sejak Julai, dengan mencatatkan kadar ketepatan masa melebihi 95 peratus.

Mengenai operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), beliau berkata syarikat penerbangan itu telah membawa 547,969 penumpang melalui 22,532 penerbangan antara Januari hingga Oktober tahun ini, dengan mencatatkan kadar ketepatan masa melebihi 93 peratus.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement