SINGAPURA: Pengeluar pesawat Airbus meramalkan permintaan kira-kira 400 pesawat berbadan lebar di Asia Pasifik (Apac) dalam tempoh 20 tahun akan datang, termasuk pesawat baharu dan penukaran berikutan rantau ini terus memperlihatkan keteguhan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perdagangan yang dinamik.

Ketua Pemasaran Pesawat Airbus Crawford Hamilton berkata, jumlah berkenaan mewakili lebih 25 peratus daripada permintaan global terhadap 1,490 pesawat berbadan lebar dalam segmen atas 40 tan.

"Berikutan Apac bersedia untuk tampil sebagai rantau terbesar perdagangan antarabangsa dalam tempoh dua dekad akan datang, A350F baharu, yang mengubah langkahnya dalam kecekapan, kapasiti dan julat yang diselarikan dengan pasaran, disesuaikan untuk menambah baik operasi pembawa dengan memenuhi permintaan kargo yang pelbagai, selain meneraju usaha ke arah masa depan pengangkutan udara yang lebih mampan," katanya dalam maklumat kemas kini pasaran pesawat Airbus di Pertunjukan Udara Singapura 2024 di sini pada Selasa.

Beliau berkata syarikat itu dalam kedudukan baik untuk memenuhi sebahagian besar permintaan ini dengan A350F serba baharu yang dioptimumkan untuk memudahkan kerja pemunggahan dan operasi kargo.

"Buat masa ini, kami kini di peringkat untuk menguji sistem kawalan alam sekitar, panel kawalan dan perisian sistem pemunggahan kawalan geladak utama," katanya sambil memaklumkan A350F adalah pesawat pengangkut berbadan lebar paling ringan.

Hamilton berkata Airbus bersedia untuk menyediakan penerbangan pertama menjelang akhir 2025, dengan penghantaran pertama dijangka bermula pada 2026.

"Diramalkan memulakan perkhidmatan pada 2026, pemasangan bahagian fiuslaj A350F yang pertama dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan akan datang, selaras dengan jangka masa pengeluaran pesawat itu," katanya.

Beliau berkata kumpulan A350 generasi terkini telah menerima lebih 1,200 tempahan daripada 57 pelanggan di seluruh dunia, termasuk 50 bagi A350F daripada sembilan syarikat penerbangan kargo terkemuka, dan kumpulan A330neo kategori saiz sederhana juga terus meraih momentum dengan hampir 300 tempahan daripada 28 pelanggan.

Model baharu itu akan menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sehingga 40 peratus berbanding dengan generasi sebelumnya iaitu 747F dan merupakan pesawat pengangkut pertama pada masa kini yang akan memenuhi piawaian pelepasan karbon dioksida dipertingkatkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa pada 2027, katanya.

Pertunjukan Udara Singapura dwitahunan yang menumpukan kepada komersial dan pertahanan, diadakan pada 20 hingga 25 Februari ini di Pusat Pameran Changi dengan disertai lebih 1,000 syarikat daripada lebih 50 negara.

-- BERNAMA