BAYAN LEPAS: Asean Investment and Trade Forum 2023 (AITF 2023) menjadi platform pemudah cara dalam memperkasakan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi sudut kewangan yang mampan, perundangan dan pertumbuhan perniagaan ke pasaran global.

Menurut Pengerusi Kumpulan WestWood, Datuk Seri Jason Chang, AITF 2023 menjadi medium tepat untuk usahawan-usahawan mikro mendapatkan pendedahan berkenaan pasaran perniagaan global, di samping membantu mereka mendepani cabaran asas dalam perniagaan.

"Kita mempunyai banyak PMKS di Malaysia. Saya fikir apabila mereka ingin mengembangkan perniagaan, mereka menghadapi cabaran pengetahuan dan kepakaran, dan saya fikir apabila anda datang ke platform AITF, anda mempunyai semua kepakaran di sini kerana rangka kerja undang-undang ada untuk anda, rangka kerja pengurusan kewangan tersedia untuk anda.

"Jadi PMKS mempunyai semua maklumat yang mereka perlukan. Mereka sebenarnya boleh datang ke sini menimba lebih banyak pengetahuan sebelum mereka melangkah keluar di Malaysia," ujarnya sewaktu majlis perasmian AITF 2023, di sini.

Selain itu, beliau berkata, dalam usaha memperluas perniagaan ke peringkat antarabangsa, ia memerlukan sokongan dari sudut perundangan, pemahaman budaya negara luar dan sumber pembiayaan yang baik serta stabil.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vijaya International, Kenny Gan berkata, selain isu kewangan, untuk menjadikan sebuah perniagaan PMKS itu bertaraf global, pengusaha PMKS perlu memastikan mereka mempunyai ilmu yang cukup dalam selok-belok perniagaan.

"Dapatkan lebih banyak ilmu, kerana ilmu adalah kunci untuk mengembangkan perniagaan dan perhubungan anda.

"Misalnya, jika pengusaha PMKS pergi ke Thailand, beliau perlu mencari peguam, dan penasihat syarikat dalam keadaan tidak mengetahui adakah kumpulan individu tersebut benar-benar memberi perkhidmatan yang benar.

"Namun jika anda hadir ke AITF 2023, semua keperluan sudah tersedia," katanya.

AITF 2023 anjuran Yeoh Mazlina & Partners (YMP) dengan kerjasama SME Malaysia dan MATRADE berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober bersempena Persidangan Tahunan Perikatan Undang-Undang ASEAN ke-9 di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang.