AKSI’25 bentuk generasi muda berjiwa usahawan melalui koperasi sekolah

Penganjuran AKSI sejak tahun 2024 dilihat selaras dengan matlamat Dasar Koperasi Malaysia 2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan generasi baharu pemimpin koperasi. - Foto SKM
KUALA LUMPUR: Program Asas Keusahawanan Koperasi 2025 (AKSI’25) yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), terus menjadi platform penting dalam membangunkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negara.
Pengerusi SKM, Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, AKSI’25 bukan sekadar program pertandingan, malah merupakan usaha berterusan untuk melahirkan generasi muda yang celik keusahawanan dan berupaya menerajui koperasi sekolah secara berdaya saing.
Menurut beliau, melalui penyertaan aktif dalam koperasi sekolah, para pelajar bukan sahaja mendapat pendedahan awal terhadap dunia perniagaan dan pengurusan organisasi, malah berpeluang mengasah kemahiran kepimpinan, kreativiti, inovasi serta semangat kerja berpasukan.
“Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk belajar mengurus, membuat keputusan dan memahami nilai integriti dalam organisasi koperasi.
“Ia adalah latihan kepimpinan sebenar yang dapat membentuk pelapis kepada gerakan koperasi negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, AKSI’25 merupakan kesinambungan kepada beberapa inisiatif sebelum ini seperti Program Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah (PPKKS) yang diperkenalkan pada tahun 2008 dan Konvensyen Young Entrepreneurs Strive for Success (YESS) pada tahun 2017.
Penganjuran AKSI sejak tahun 2024 dilihat selaras dengan matlamat Dasar Koperasi Malaysia 2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan generasi baharu pemimpin koperasi.
Setakat ini, sebanyak 2,508 koperasi sekolah berdaftar dengan keanggotaan melebihi dua juta pelajar di seluruh negara.
Koperasi sekolah mencatatkan syer bernilai RM30.67 juta, aset berjumlah RM508.42 juta, dan perolehan tahunan sebanyak RM532 juta, sekali gus membuktikan potensi besar sektor ini dalam menyemai budaya keusahawanan sejak di bangku sekolah.
Dalam pada itu, Ahmad Norihan turut merakamkan penghargaan kepada guru pembimbing, panel juri serta agensi rakan strategik seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corporation Malaysia dan Bank Rakyat atas komitmen menjayakan program tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


