KUALA LUMPUR: Penyertaan pelabur asing dalam pasaran bon Malaysia terus meningkat bagi bulan keempat berturut-turut pada Januari 2026 dengan aliran masuk bersih dana asing mencecah RM951.9 juta, menurut RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).
Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan berkata, aliran masuk bersih berkenaan dipacu terutamanya oleh permintaan berterusan terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang mencatatkan aliran masuk sebanyak RM2.1 bilion.
Advertisement
“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh aliran keluar daripada Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB), Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) serta bon korporat, masing-masing berjumlah RM480.0 juta dan RM709.3 juta,” katanya.
RAM Ratings berkata pembelian bersih bagaimanapun menyederhana berbanding bulan-bulan sebelumnya, sebahagiannya disebabkan oleh jurang hasil yang ketara antara Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan MGS pada bulan lepas serta prospek berhati-hati terhadap penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.
Agensi penarafan itu berkata hasil Perbendaharaan AS selama 10 tahun meningkat sebanyak 8.0 mata asas bulan ke bulan kepada 4.26 peratus setakat akhir Januari, mencerminkan hasil global yang lebih kukuh apabila pasaran menilai semula kadar dan masa pelonggaran dasar monetari AS.
Sebaliknya, katanya, hasil MGS selama 10 tahun susut sebanyak 1.4 mata asas bulan ke bulan kepada 3.52 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta jangkaan dasar yang stabil.
“Jurang hasil yang ketara sebanyak 74.4 mata asas (akhir Disember 2025: 65 mata asas) berkemungkinan mengurangkan daya tarikan bon Malaysia kepada pelabur asing,” katanya.
RAM Ratings berkata tumpuan pasaran terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada Mac 2026 semakin meningkat apabila pelabur menilai semula hala tuju kadar faedah pada masa hadapan di tengah-tengah pasaran buruh AS yang masih kukuh.
-- BERNAMA