BISNES

Aliran tunai Petronas penting kepada ekosistem ekonomi Bumiputera - Ahli DPMM

Astro Awani 25/08/2025 | 04:40 MYT
Menurut Yazid, hasil Petronas bukan sahaja penyumbang utama kepada pendapatan negara, malah menjadi nadi kepada ribuan vendor dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Aliran tunai yang dijana oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi Bumiputera.

Ahli Majlis Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Yazid Othman berkata, sebarang gangguan terhadapnya boleh membawa kesan besar.

Tegasnya, hasil Petronas bukan sahaja penyumbang utama kepada pendapatan negara, malah menjadi nadi kepada ribuan vendor dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera, khususnya dalam sektor minyak dan gas.

"Apa yang penting bukan sekadar angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau prestasi pasaran saham, tetapi sama ada wang beredar dengan cekap dalam ekonomi.

"Apabila Petronas membayar vendor, vendor membayar pekerja, dan pekerja berbelanja di kedai-kedai tempatan. Itulah rantaian ekonomi sebenar,” katanya seperti dilapor FMT.

Beliau berkata, pendapatan Petronas mengalir secara langsung kepada vendor Bumiputera melalui kontrak dan secara tidak langsung kepada kerajaan melalui dividen tahunan, yang kemudiannya disalurkan kepada gaji penjawat awam, subsidi dan program pembangunan.

Yazid turut memberi amaran bahawa sebarang penurunan dalam pendapatan atau pembayaran dividen Petronas akan memberi kesan segera kepada perniagaan Bumiputera, termasuk kelewatan pembayaran, pengurangan nilai kontrak dan kemungkinan pemberhentian pekerja.

“Apabila Petronas berada dalam tekanan, vendor diminta mengurangkan margin atau menerima kontrak yang lebih kecil. Ini menjejaskan keupayaan mereka untuk membayar gaji dan pembekal dan kesannya dirasai oleh isi rumah secara langsung,” katanya.

Beliau menambah, kesan ekonomi itu boleh merebak ke pelbagai sektor termasuk pendidikan dan peruncitan.

“Jika 5,000 orang diberhentikan kerja, berapa banyak isi rumah yang terjejas? Berapa banyak pusat tuisyen kehilangan pelajar? Berapa banyak kedai makan kehilangan pelanggan? Semuanya saling berkait,” katanya.

Petronas menyumbang berbilion ringgit setiap tahun kepada kerajaan dalam bentuk dividen. Pada tahun 2024, syarikat minyak nasional itu membayar RM32 bilion, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai sumber utama perbelanjaan awam.

“Jika dividen Petronas turun kepada RM25 bilion, dari mana kerajaan akan mencari RM10 bilion yang hilang itu? Tanpa wang tunai tersebut, gaji penjawat awam, projek pembangunan dan subsidi mungkin tertangguh, sekali gus menjejaskan keyakinan Bumiputera terhadap ekonomi,” kata Yazid.

Beliau memberi kekurangan sedemikian boleh mendorong kerajaan melaksanakan langkah berjimat cermat, seperti yang berlaku semasa pandemik COVID-19, apabila vendor diminta menyerap diskaun untuk memastikan projek terus berjalan.

Sehubungan itu, Yazid menggesa Putrajaya agar menunjukkan komitmen dalam menyokong perniagaan Bumiputera, terutamanya jika ia berhasrat untuk beralih daripada dasar berasaskan kaum.

“Tunjukkan bahawa lebih banyak PKS berkembang maju, bahawa pembayaran dibuat tepat pada masanya, dan bahawa ekosistem ekonomi semakin kukuh di bawah pentadbiran anda,” katanya.





#Petronas #ekonomi Bumiputera #Dividen Petronas #pendapatan negara