KUALA LUMPUR: Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) telah memohon pelanjutan tempoh tuntutan waranti yang tamat pada 31 Jan 2023 daripada Kesas Holdings Bhd (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak), kata Gamuda Bhd.

Firma itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ketiga-tiga syarikat pemegang konsesi lebuh raya itu telah menerima surat ALR yang meminta pelanjutan berkenaan pada 31 Jan.

Gamuda berkata ALR memaklumkan bahawa disebabkan oleh kematian pengerusinya, Tan Sri Azlan Mohd Zainol pada 12 Jan 2023, ALR buat masa sekarang tidak dapat menuruti sepenuhnya perlembagaan syarikat.

"Akibatnya, lembaga pengarah ALR tidak berada dalam kedudukan untuk memutuskan tuntutan waranti sehingga pemegang saham/pengarah baharu dilantik," katanya.

Lembaga pengarah syarikat pemegang konsesi juga telah memberi maklum balas kepada ALR bahawa mereka bersetuju untuk memberikan kelonggaran bulan tambahan (sehingga 28 Feb ini) bagi ALR memuktamadkan dan mengemukakan sebarang tuntutan terhadap jaminan vendor.

"Bagaimanapun, tarikh akhir substantif yang mana peristiwa atau terma tuntutan itu kekal pada 31 Jan 2023," katanya.

Pada 13 Okt 2022, ALR menyelesaikan pengambilalihan semua sekuriti empat syarikat konsesi lebuh raya yang terdiri daripada Litrak, Sprint, Kesas serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart).

-- BERNAMA