KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Amanah Raya Bhd, AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd (ARIM), mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.50 sen seunit bagi AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026.
Pengumuman itu menjadikan jumlah pembayaran agihan kepada RM73.19 juta, memberi manfaat kepada pemegang unit yang secara keseluruhannya memiliki 1.63 bilion unit dalam dana tersebut setakat 28 Ogos.
Ketua Pegawai Eksekutif ARIM Mohamad Shafik Badaruddin berkata pengumuman tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk memberikan penyelesaian pelaburan yang bertanggungjawab.
Sebagai dana yang telah beroperasi sejak 2006, katanya ARSTF merupakan bukti nyata pasaran sukuk Malaysia yang stabil.
“Selain aspek kestabilan, kami menerapkan disiplin pelaksanaan yang kukuh, mengurus tempoh matang dengan sewajarnya dan mengelak mengejar hasil yang tidak berbaloi dengan risikonya.
“Keupayaan untuk melaksanakan ini secara konsisten dan menjana pulangan secara mampan adalah yang menjadikan dana ini berbaloi untuk dimiliki bagi tempoh jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA