BISNES
AMNC25: Perdagangan global di ambang perubahan ketara, kuasa ekonomi beralih ke Negara-Negara Selatan - Li Qiang

Dalam ucapan perasmiannya di WEF Tianjin 2025, Perdana Menteri China, Li Qiang menggesa dunia bersedia hadapi realiti baharu ekonomi yang semakin terpecah dan tidak menentu. - Gambar ihsan WEF
TIANJIN, CHINA: Perdagangan global kini sedang mengalami perubahan drastik dan dunia harus bersiap sedia untuk menghadapi peralihan yang lebih mendalam.
Itu inti pati ucapan perasmian Perdana Menteri China, Li Qiang, ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Juara Baharu (AMNC) 2025 anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini, hari ini.
“Landskap ekonomi dan perdagangan global sedang berubah secara mendalam, kita perlu melangkaui dinamika yang kompleks dan mengenal pasti kuasa-kuasa utama yang mendorong perubahan ini,” kata beliau.
Dalam ucapan yang menyentuh pelbagai aspek, beliau mengenal pasti empat aliran utama yang sedang membentuk semula aturan perdagangan dan pelaburan antarabangsa.1. Negara-Negara Selatan kini pemacu ekonomi dunia
Li menjelaskan, kuasa ekonomi global kini beralih dari negara maju kepada negara membangun, sementara, perdagangan di negara maju semakin perlahan, manakala, negara-negara membangun sedang mencatatkan pertumbuhan pesat.
• Sejak tahun 2000, perdagangan barangan dari negara membangun telah meningkat sebanyak 4.6 kali ganda.
• Perkongsian mereka dalam perdagangan global telah meningkat daripada 30 peratus kepada 45 peratus.
• Negara-negara ini kini merangkumi 70 peratus daripada populasi dunia.
“Negara-Negara Selatan bukan lagi sekadar pemerhati mereka kini menjadi pemacu utama pertumbuhan global,” tegas Li.
2. Sektor baharu mendominasi corak perdagangan
Perdagangan tradisional dalam sektor barangan kini semakin perlahan, manakala sektor baharu seperti perkhidmatan, perdagangan digital dan hijau menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
• Pada 2024, perdagangan global dalam barangan hanya meningkat sebanyak 2 peratus berbanding 8.8 peratus dalam sektor perkhidmatan.
• Perkhidmatan menyumbang kepada 60 peratus daripada pertumbuhan perdagangan global.
• Eksport perkhidmatan digital telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun lalu.
“Sempadan perdagangan semakin meluas, ia kini bersifat digital, mampan, dan bergerak pantas,” jelas beliau.
3. Kerjasama global kian tercabar
Li turut menyentuh peningkatan perlindungan serta ketegangan perdagangan yang semakin meruncing.
• Pada 2024, terdapat lebih daripada 1,200 halangan perdagangan bersifat diskriminasi di seluruh dunia, enam kali ganda berbanding sebelum pandemik.
• Negara-negara kini semakin bergantung kepada perjanjian dua hala dan serantau, dengan lebih 600 perjanjian perdagangan aktif direkodkan.
“Langkah ini mungkin memberi fleksibiliti jangka pendek, tetapi kesan jangka panjang terhadap kecekapan global perlu difikirkan dengan mendalam,” katanya.
4. Pelaburan merosot, rantaian bekalan semakin terpecah
Li turut meluahkan kebimbangan terhadap penurunan pelaburan rentas sempadan serta trend pemisahan dalam rantaian bekalan global.
• Pelaburan rentas sempadan telah menurun selama tiga tahun berturut-turut dan kini 40 peratus lebih rendah daripada paras tertinggi yang pernah dicapai.
• Syarikat multinasional kini mengamalkan pendekatan seperti “friend-shoring”, “near-shoring” dan “on-shoring”, yang mengubah struktur pengeluaran antarabangsa.
• Trend ini didorong oleh kebimbangan geopolitik dan dasar sekatan pelaburan.
“Ketakutan kini menjadi faktor utama dalam membuat keputusan ekonomi, dan ini menjejaskan kecekapan serta meningkatkan kos,” ujar beliau.
Menuju masa depan: Seruan untuk bertindak
Ucapan Perdana Menter Li turut mencerminkan ketidaktentuan dunia hari ini, namun, juga memberi isyarat jelas bahawa tindakan kolektif dan penyesuaian strategik amat diperlukan.
“Masa depan bergantung kepada bagaimana kita bertindak hari ini. Kita perlu terus terbuka, responsif dan mengutamakan pertumbuhan bersama,” tambah Li lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami