Membeli dan menjual kenderaan terpakai kini menjadi semakin mudah.

Selaras dengan peredaran zaman yang semakin moden, anda tidak lagi perlu pergi ke pusat pameran kereta untuk membeli atau menjual kenderaan terpakai.

Aplikasi MUV menjanjikan pengalaman jual beli kenderaan terpakai yang baik untuk pengguna mahupun penjual.

Sejak penubuhannya pada 2013, MUV telah mencatat jualan kenderaan terpakai melebihi RM260 juta selain mengendalikan lebih daripada 50 acara lelongan yang membabitkan lebih daripada 11,000 kenderaan dengan kadar jualannya mencecah 75 peratus.

Pengasas MUV Marketplace, Nicholas Tan berkata industri kenderaan terpakai adalah bidang yang memerlukan sesuatu perubahan.

"Berbilion ringgit telah dilaburkan dalam industri kenderaan baharu, namun bukan dalam sektor kenderaan terpakai.

"Oleh itu kami ingin mewujudkan keseimbangan dalam industri ini iaitu ruang pasaran yang menggabungkan keterbukaan informasi teknologi dalam satu ekosistem fizikal di seluruh negara," katanya di pelancaran jenama MUV di sini pada Rabu.

MUV menyediakan platform untuk pengguna meneliti maklumat mengenai sesebuah kenderaan seperti laporan pemeriksaan, perbatuan, nilai dan ratingnya.

Hanya dengan menggunakan aplikasi mudah alih, pengguna boleh terus membuat bidaan terus melalui telefon bimbit.

Selain itu, melalui Quick Sell & Garage, pengguna boleh menjual kenderaan terus kepada MUV melalui proses yang pantas dan mudah.

Menerusi platform MUV Xchange, pengguna berpeluang meraih harga setinggi mungkin melalui proses bidaan yang kompetitif dan telus.

Proses ini memerlukan pengguna untuk menjalani penilaian kenderaan yang mengambil masa 30 minit untuk mendapatkan anggaran nilai kenderaan tersebut.

Bagi penjual kereta terpakai, aplikasi MUV memudahkan mereka dalam proses menilai dan membida kenderaan daripada pelanggan yang berpotensi.

MUV kini memiliki tiga hab merentasi pasaran Semananjung iaitu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor yang mampu menampung lebih daripada 2,000 kenderaan dan 350 pembeli.

Bergerak ke hadapan, Nicholas mensasarkan untuk menjual kira-kira 100,000 kenderaan terpakai menjelang 2020.