KUALA LUMPUR: Sebanyak 31 anugerah diberikan kepada majikan, penyedia latihan dan jurulatih pada Malam Gala Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2022 (Anugerah HRD) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Anugerah yang memasuki penganjuran kali ke-20 itu membabitkan dua kategori, iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia yang dianugerahkan kepada 17 majikan besar dan Anugerah HRD Corp yang diberikan kepada 14 penerima melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyedia latihan dan jurulatih.

Antara majikan yang menerima Anugerah Sumber Manusia termasuk AirAsia Berhad; Malaysia Airlines Bhd; CIMB Bank Bhd; Telekom Malaysia Bhd; Tenaga Nasional Bhd; Keretapi Tanah Melayu Bhd; Alam Flora Sdn Bhd dan 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd.

Manakala penerima Anugerah HRD Corp termasuk Owen Mumford Sdn Bhd; Jesin Construction Sdn Bhd; Zhulian Marketing (M) Sdn Bhd dan Aspac Lubricant (Malaysia) Sdn Bhd.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, anugerah tersebut merupakan medium terbaik untuk menilai prestasi majikan dan pemain industri dalam memperkukuh usaha pembangunan sumber manusia mereka.

"Kejayaaan mereka telah dan akan terus menjadi penanda aras untuk dicontohi oleh pihak lain," katanya dalam ucaptama Anugerah HRD 2022.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, anugerah berkenaan memainkan peranan penting dalam membentuk trend selain memudahkan pertumbuhan tenaga kerja dan bakat Malaysia sepanjang dua dekad yang lalu.

"Pemenang-pemenang sebelum ini telah menjadi penggerak serta berjaya membawa perubahan terhadap landskap latihan dan pembangunan di negara ini," katanya.



Proses penganugerahan bermula sejak April sehingga November lalu dengan hebahan pembukaan penyertaan, penilaian, senarai pendek dan pemilihan pemenang.

Pemenang kategori majikan dipilih daripada 5,508 majikan yang layak dengan kadar penggunaan levi HRD sebanyak 80 peratus, sementara kategori jurulatih dan penyedia latihan berdasarkan penarafan 4/5 oleh sekurang-kurangnya 1,000 pelatih melalui Penilaian Keberkesanan Jurulatih HRD Corp (TEE).

Kesemua penerima anugerah dihakimi oleh panel penilai daripada wakil industri, persatuan majikan serta agensi kerajaan.



Ia termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM); Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); Persekutuan Majikan Malaysia (MEF); Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM); Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM); SIRIM Bhd dan SME Corporation Malaysia.