23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
BISNES

Anwar tumpu perencanaan Belanjawan MADANI 2026 di Kementerian Kewangan

Bernama 05/10/2025 | 09:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berada di Kementerian Kewangan di Putrajaya untuk merancang Belanjawan 2026. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berada di Kementerian Kewangan di Putrajaya untuk merancang Belanjawan 2026.


Ringkasan AI
  • Anwar Ibrahim berada di Kementerian Kewangan untuk merancang Belanjawan MADANI Keempat 2026, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober.
  • Belanjawan 2026 disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri, bagi memastikan pertumbuhan inklusif dan menangani isu kos sara hidup rakyat.
  • Belanjawan sulung di bawah RMK13 fokus kepada tiga teras utama: menaikkan siling (daya saing & inovasi), menaikkan lantai (perkhidmatan asas seperti pendidikan & kesihatan), serta memperkukuh tadbir urus.


"Hari ini saya di Kementerian Kewangan bersama pasukan Perbendaharaan menumpukan pada perencanaan untuk Belanjawan MADANI Keempat 2026," kata Anwar menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat, 10 Oktober.

Pada 27 Sept lepas, ketika menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 bersama Pemain Industri Pelancongan serta Pembuatan di Banda Hilir, Melaka, Anwar berkata penyediaan Belanjawan Negara 2026 akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri dan bukan hanya ditentukan di peringkat kementerian.

Langkah itu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar tanpa mengabaikan keperluan rakyat terutama dalam menangani isu kos sara hidup, kata beliau.

Belanjawan 2026 adalah belanjawan sulung yang mendukung matlamat Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan akan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai serta memperkukuh tatakelola baik dalam pentadbiran negara.

Menaikkan siling merujuk kepada strategi mempertingkatkan potensi dan daya saing negara melalui pelaburan dalam inovasi, teknologi serta pembangunan bakat, manakala menaikkan lantai pula bermaksud memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas kerajaan seperti pendidikan dan kesihatan agar tiada golongan yang tercicir.

-- BERNAMA



#Belanjawan 2026 #Anwar Ibrahim #Kementerian Kewangan #Belanjawan Madani