APHM gembira Kem. Kesihatan faham GST beri kesan kepada hospital swasta

Mariah Ahmad
Disember 18, 2014 23:49 MYT
JACOB : Mereka yang menggunakan perkhidmatan kesihatan swasta akan menghadapi dua invois yang berlainan iaitu fasilti perkhidmatan swasta (dikecualikan GST) dan perkhidman kesihatan daripada professional (GST). - Foto The Prospect Group
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) gembira apabila Kementerian Kesihatan faham bagaimana kos perkhidmatan swasta akan meningkat apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April nanti.
Presidennya Dato’ Dr Jacob Thomas berkata ia adalah satu langkah positif daripada kerajaan memandangkan sektor swasta akan lebih banyak mengambil bahagian untuk bekerjasama dengan kerajaan pada masa hadapan.
“Hospital swasta sedikit kompleks. Secara umum, kebanyakan doktor di hospital swasta adalah perunding bebas. Mereka bukan pekerja hospital swasta namun mereka mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan hospital tersebut. Ia berlainan dengan pegawai perubatan di hospital awam di mana mereka adalah pekerja di hospital itu sendiri.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menganggap perkhidmatan kesihatan profesional seperti doktor pakar, pengamal perubatan yang bekerja di hospital swasta sebagai perkhidmatan ‘oursourced’ dan servis mereka akan dikenakan cukai enam peratus yang akan dibayar pengguna rawatan nanti,” tambahya kepada Astro AWANI.
Jacob berkata disebabkan perkara inilah beliau memberi peringatan kepada orang ramai supaya bersedia membayar tambahan sebanyak lima peratus kepada perkidmatan hospital swasta apabila GST dilaksanakan
“Sebagai sebuah persatuan yang mewakili hospital swasta, kami sudah mengadakan beberapa sesi rundingan dan perbincangan bersama (JKDM) dan Kementerian Kewangan mengenai isu dan implikasi perkhidmatan kesihatan yang diberikan daripada golongan profesional perkhidmatan kesihatan sebagai perkhidmatan ‘outsourced’.
“Namun, rayuan kami kepada kerajaan supaya perkhidmatan kesihatan hospital swasta dan perkhidmatan kesihatan swasta dikecualikan daripada GST telah ditolak,” tambah beliau.
Beliau berkata mereka yang menggunakan perkhidmatan kesihatan di fasiliti-fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta akan mendapat dua invois yang berlainan iaitu fasilti perkhidmatan swasta (dikecualikan GST) dan perkhidman kesihatan daripada profesional (dikenakan enam peratus GST).
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Ser Dr. Subramaniam mengesahkan kos perkhidmatan kesihatan swasta akan meningkat selepas GST dilaksanakan namun perincian kadar masih dalam perbincangan bersama Jabatan Kastam.
Subramaniam berkata dalam satu media, tiada keputusan muktahir diputuskan namun beliau tidak menafikan peningkatan kos itu.
Beliau memberi kenyataan itu sebagai maklum balas kepada Jacob yang memberi peringatan kepada orang ramai supaya bersedia untuk membayar caj tambahan lima peratus selepas GST dilaksanakan selepas mendakwa Jabatan Kastam tidak mahu mengecualikan cukai doktor swasta yang bekerja di hospital swasta.
Beliau telah menekankan perkara ini kepada agensi GST, sebagai satu “masalah khusus”.
"Kami juga sudah menjelaskan perkara ini kepada agensi GST dan APHM juga telah melakukan perkara yang demikian jadi kita perlu tunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam,” kata Subramaniam.
Pada 25 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 mengumumkan pelaksanaan GST dengan kadar enam peratus menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.
#APHM #Datuk Seri Dr. S Subramaniam #GST #Hospital #Kementerian Kesihatan #kesihatan #swasta