KUALA LUMPUR: Sektor Ar-Rahnu berpotensi memperluas peranannya dalam pembangunan kewangan Islam negara, khususnya melalui penyediaan kemudahan pembiayaan yang telus, patuh Syariah dan memenuhi keperluan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Mohd Marzuki Yasoa’, berkata potensi tersebut perlu disokong pengurusan yang berintegriti, pematuhan Syariah dan kecekapan operasi bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang secara mampan.
“Kepatuhan Syariah mesti dipelihara dengan teliti, mulai daripada penilaian barang gadaian, penetapan kadar upah simpan hingga kepada layanan kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan pembukaan cawangan kedua KopTown Ar-Rahnu milik Koperasi Tenaga Nasional Berhad (Koperasi TNB) di TTDI Jaya, di sini, pada Isnin.
Menurut Mohd Marzuki, kepercayaan masyarakat merupakan asas penting dalam pembangunan sektor Ar-Rahnu kerana perkhidmatan itu melibatkan urusan pembiayaan serta penyimpanan barang berharga milik pelanggan.
Justeru, pengendali Ar-Rahnu perlu memastikan setiap urusan dilaksanakan secara telus, dengan penerangan jelas mengenai penilaian barang gadaian, kos perkhidmatan dan syarat pembiayaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kelemahan pengurusan risiko boleh menjejaskan aset koperasi serta merosakkan keyakinan pelanggan yang dibina dalam tempoh panjang.
“Pengurusan risiko yang lemah boleh menjejaskan aset koperasi dan, lebih penting lagi, menghakis amanah yang telah dibina bertahun-tahun,” katanya.
Sehubungan itu, kawalan dalaman yang kukuh, audit berkala dan pematuhan terhadap undang-undang serta garis panduan berkaitan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan operasi Ar-Rahnu diurus secara profesional dan berintegriti.
Dalam menghadapi perubahan keperluan pengguna, Mohd Marzuki turut menggesa koperasi mempercepat penerapan teknologi dan pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memudahkan urusan pelanggan.
Katanya, penggunaan sistem digital berupaya mempercepat proses perkhidmatan, mengurangkan kesilapan dan menjimatkan kos operasi, selain membantu koperasi menyesuaikan diri dengan jangkaan pelanggan masa kini.
Bagaimanapun, usaha itu perlu disertai latihan kepada kakitangan dan perlindungan data bagi memastikan kemudahan teknologi tidak membuka ruang kepada risiko baharu.
Pada masa sama, pembangunan sektor Ar-Rahnu perlu kekal berpaksikan matlamat koperasi untuk meningkatkan kesejahteraan anggota dan masyarakat, bukannya mengejar pertumbuhan keuntungan semata-mata.
“Koperasi ditubuhkan bukan semata-mata untuk mencari keuntungan, tetapi untuk memperbaiki taraf hidup anggotanya,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan Ar-Rahnu perlu membantu pelanggan menangani keperluan kewangan mendesak secara berhemah, manakala koperasi perlu memastikan model perniagaan yang diterajui mampu bertahan dalam jangka panjang.
Pembukaan cawangan baharu KopTown Ar-Rahnu di TTDI Jaya mencerminkan usaha Koperasi TNB memperluas capaian perkhidmatannya kepada masyarakat. Koperasi itu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat ketiga dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026.
Sehubungan itu, pengembangan sektor Ar-Rahnu perlu disertai keseimbangan antara akses pembiayaan, pematuhan Syariah, perlindungan kepentingan pelanggan dan pengurusan risiko bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang secara mampan serta diyakini masyarakat.