Menteri Kewangan Arab Saudi, Ebrahim Al Assaf mengumumkan negara berkenaan bakal melaksanakan cukai nilai tambah (VAT) dalam dua tahun.

Menurut laporan berita tempatan Arab Saudi, Ebrahim menjangkakan kadar VAT pada sekitar 5%.

Langkah ini adalah untuk mengimbangi kesan harga minyak mentah yang menurun di pasaran global.

Kejatuhan harga minyak mentah di pasaran global telah mengakibatkan Arab Saudi hilang punca pendapatan untuk perbelanjaan negara tersebut.

Defisit bajet Arab Saudi melonjak kepada USD98 bilion pada 2015 berikutan penyusutan drastik harga minyak mentah dunia.

Menurut Riyadh, VAT akan diperkenalkan secara berperingkat dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam dua tahun.

Tambah beliau kadar 5% merupakan antara kadar terendah di peringkat global.

Kementerian Kewangan Arab Saudi mengumumkan VAT semasa membentangkan bajet 2016 selaras pelaksanaan cukai sama di Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Sementara itu, Setiausaha Kementerian Kewangan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Younis Haji Al Khoury, berkata UAE disasar melaksanakan VAT dalam jangka tiga tahun.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mencadangkan UAE mempertimbangkan pelancaran VAT pada kadar 5%.

Kepelbagaian Pendapatan

Menurut Felo Utama Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr John Antony Xavier pengumuman VAT dilihat sebagai usaha Riyadh mempelbagaikan pendapatan.

“Dengan memperkenalkan VAT, sumber pendapatan negara dipelbagaikan.

"Sumber pendapatan negara menjadi lebih luas dan tidak bergantung kepada minyak," kata beliau.

Tambah Antony, ini menunjukkan Arab Saudi sudahpun sedar ia tidak boleh bergantung hanya kepada sektor minyak dan gas bagi pendapatan kerajaan.

Beliau berkata langkah pelancaran VAT juga merupakan sebuah cara meningkatkan keyakinan pasaran kewangan.

“Dalam situasi ini, pasaran kewangan bimbang dengan cara Arab Saudi mengekalkan kedudukan pendapatannya dan perbelanjaan awam."

Tambahnya, IMF telah memberi amaran kepada Arab Saudi bahawa negaranya akan kehabisan tunai dalam 5 tahun jika tidak mengambil langkah yang sepatutnya.

Disember yang lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata Malaysia bernasib baik memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menghapuskan kesan kejatuhan harga minyak.

Tambahnya, pelaksanaan GST memberikan kerajaan kepelbagaian sumber dan tidak lagi terlalu bergantung kepada sektor berasaskan minyak dan gas.