BISNES

ART bukan perjanjian perdagangan, tunggu suku pertama 2026 untuk nilai hasil – Penganalisis

Irfan Faruqi 04/11/2025 | 13:30 MYT
ART Malaysia-Amerika Syarikat (AS) ditandatangani pada 26 Oktober di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) bukan perjanjian perdagangan yang memberi kesan signifikan kepada kedudukan negara.


Ringkasan AI
  • Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) tidak memberi kesan signifikan kepada kedudukan negara.
  • Penganalisis menasihatkan penilaian keberhasilan perjanjian diberikan ruang hingga suku pertama tahun 2026.
  • ART 2025 adalah reaksi terhadap tindakan Trump dan masih membenarkan Malaysia mengawal beberapa aspek perdagangan.


Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid menasihatkan semua pihak memberi ruang sehingga suku pertama tahun 2026 untuk menilai keberhasilan perjanjian berkenaan.

“ART 2025 bukan perjanjian perdagangan, yang berbeza dengan perjanjian timbal balik. Perjanjian perdagangan mengambil masa sehingga enam tahun untuk diperhalusi. ART 2025 hanyalah reaksi rigid terhadap tindakan Donald Trump yang mahu mengenakan tarif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Dalam pada itu, Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat pula berpandangan hakikatnya ART yang ditandatangani masih mengekalkan kuasa Malaysia untuk mengawal beberapa aspek perdagangan.

"Dalam perjanjian itu ada menyentuh mengenai nadir bumi (RE), tetapi kita mengekalkan banyak kuasa kawalan dalam bentuk pelesenan, peraturan alam sekitar dan kawalan eksport,” jelasnya.

Tambah Yew Keat, pulangan kepada Malaysia dalam ART ini perlu dilihat melangkaui keuntungan ekonomi, bahkan perlu mengambil kira pulangan keselamatan dan jaminan masa depan kepada negara yang disumbangkan dengan kehadiran AS di rantau ini.

"Kita perlu pastikan sandaran ekonomi kita berkait dengan sandaran jaminan keselamatan negara.

“Lihat pulangan berangkai kepada Malaysia dan hala tuju ekonomi untuk beralih daripada ekonomi berasaskan perkhidmatan, pembuatan, minyak dan gas, kepada ekonomi digital dan teknologi tinggi, yang mana semuanya bersandarkan kepada kepakaran yang ada di Washington,” katanya lagi.

Pada 26 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Trump menandatangani ART 2025 serta perjanjian mineral kritikal bagi memperkukuh kerjasama ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang berlangsung di ibu negara.

Perjanjian ART Malaysia-AS menyaksikan kadar tarif purata diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus, serta akses pasaran yang lebih meluas bagi eksport utama negara.


Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah kesan utama Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) terhadap negara?
    A: ART tidak memberi kesan signifikan kepada kedudukan negara.
  • Q: Mengapakah Penganalisis menyarankan penilaian perjanjian diberikan ruang sehingga suku pertama tahun 2026?
    A: Penganalisis menasihatkan demikian untuk menilai keberhasilan perjanjian tersebut.
  • Q: Apakah pandangan Penganalisis mengenai ART 2025?
    A: ART 2025 adalah reaksi terhadap tindakan Trump dan masih membenarkan Malaysia mengawal beberapa aspek perdagangan.



#Donald Trump #ASEAN #perdagangan timbal balik #sidang kemuncak