[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
BISNES

Asas kewangan Malaysia terima pujian IMF

Bernama 22/07/2025 | 23:00 MYT
Kedudukan pelaburan antarabangsa bersih (NIIP) Malaysia dijangka meningkat dalam jangka sederhana, disokong oleh unjuran lebihan akaun semasa. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Kekukuhan kewangan Malaysia dan fleksibiliti pasaran menyokong daya tahan negara terhadap kejutan luaran dan aliran keluar modal, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut Laporan Sektor Luaran 2025 IMF yang dikeluarkan di Washington pada Isnin, katanya kesemua faktor ini, termasuk lembaran imbangan Malaysia yang mantap, meletakkan negara pada kedudukan yang baik untuk mengemudi ketidaktentuan kewangan global tanpa gangguan besar.

IMF berkata kedudukan pelaburan antarabangsa bersih (NIIP) Malaysia dijangka meningkat dalam jangka sederhana, disokong oleh unjuran lebihan akaun semasa.

"NIIP Malaysia mencatatkan purata kira-kira 2.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh sedekad lepas, meningkat kepada 5.4 peratus pada akhir 2023, disokong oleh lebihan akaun semasa yang kukuh ketika pandemik yang membantu meningkatkan aset rizab," kata IMF.

IMF menekankan bahawa NIIP kemudiannya menyusut kepada -0.6 peratus daripada KDNK pada akhir tahun lepas berikutan peningkatan liabiliti pelaburan langsung dan portfolio.

Pada masa yang sama, jumlah hutang luar negeri meningkat kepada 69.7 peratus daripada KDNK pada akhir 2024 berbanding 68 peratus pada akhir 2023 namun kekal mudah diurus.

Satu pertiga daripada hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit yang menyebabkan ia tidak tertakluk kepada risiko penilaian, katanya.

Selain itu, hutang luar negeri jangka pendek menyumbang sebanyak 42.8 peratus daripada jumlah hutang luar negeri yang dianggap boleh diurus.

Menurut IMF, ini khususnya memandangkan sebahagian besarnya terdiri daripada peminjaman dalam kumpulan dalam kalangan bank dan syarikat -- pengaturan yang berkecenderungan stabil -- atau kredit perdagangan yang disokong oleh pendapatan eksport.

IMF turut menekankan bahawa kedudukan luaran Malaysia pada 2024 dinilai sebagai sederhana lebih kukuh berbanding tahap yang tersirat berdasarkan asas jangka sederhana dan dasar yang diingini.

Selepas merekodkan penurunan pada 2023 di tengah-tengah persekitaran luaran yang mencabar, lebihan akaun semasa Malaysia menyusut sedikit pada 2024 apabila import barangan modal dan pertengahan meningkat lebih pantas berbanding eksport, walaupun terdapat pemulihan dalam kitaran semikonduktor global.

"Dalam jangka sederhana, lebihan akaun semasa dijangka meningkat sedikit berikutan imbangan sektor perkhidmatan menerima manfaat daripada pemulihan yang berterusan dalam pelancongan," kata IMF.

Organisasi global itu turut menggariskan maklum balas dasar yang berpotensi untuk dilaksanakan Malaysia, antaranya dalam masa terdekat ini mengekalkan fleksibiliti kadar pertukaran bagi memudahkan pelarasan luaran yang didorong oleh asas ekonomi.

IMF berkata dalam jangka sederhana, dasar untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan awam boleh dilaksanakan termasuk melalui orientasi semula perbelanjaan fiskal bagi mengurangkan simpanan berjaga-jaga oleh isi rumah dan menggalakkan peralihan ke arah perbelanjaan penggunaan swasta.

Laporan IMF pada tahun ini menilai sektor luaran bagi 30 ekonomi terbesar dunia berdasarkan data pada 2024.

Penilaian ini merangkumi sebahagian penting daripada mandat IMF untuk mendorong pengembangan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi yang seimbang serta menggalakkan kerjasama kewangan antarabangsa.

Penilaian ekonomi individu menggunakan pelbagai kaedah bagi membentuk pandangan yang bersepadu dan konsisten secara multilateral mengenai kedudukan sektor luaran sesebuah negara.

-- BERNAMA






#kewangan Malaysia #IMF #ketidaktentuan kewangan global #KDNK