BISNES

ASEAN akan rancakkan semula perdagangan intrarantau - Tengku Zafrul

Bernama 23/09/2025 | 04:50 MYT
Tengku Zafrul(dua, kanan) mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39 di MITEC hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN akan mempergiat usaha untuk memperkukuh penyepaduan ekonomi serantau dan merancakkan semula perdagangan intrarantau yang masih mendatar pada sekitar 20 hingga 22 peratus berikutan landskap perdagangan global yang semakin tidak menentu.


Ringkasan AI
  • ASEAN akan memperkukuh penyepaduan ekonomi serantau dan merancakkan semula perdagangan intrarantau yang kini hanya sekitar 20-22% akibat ketidaktentuan global.
  • ASEAN memiliki potensi besar sebagai blok ekonomi dengan hampir 700 juta penduduk, menjadikannya antara pasaran pengguna paling dinamik di dunia.
  • Perdagangan intra-ASEAN kini menjadi keutamaan strategik untuk membina rantau yang lebih berdaya tahan, berdikari dan berdaya saing di peringkat global.


Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga berkata berlandaskan jumlah penduduk hampir 700 juta, ASEAN merupakan antara asas pengguna terbesar dan paling dinamik di dunia serta memiliki potensi yang sangat cerah.

"Usaha untuk melonjakkan perdagangan intra-ASEAN secara strategik bukan sekadar satu aspirasi ekonomi.

"Usaha itu kini menjadi kepentingan strategik untuk membina rantau yang lebih berdaya tahan, berdikari dan berdaya saing di peringkat global," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN ke-39 di sini, hari ini.

Menurut laporan, perdagangan intra-ASEAN kini hanya membentuk 21.2 peratus daripada jumlah perdagangan rantau ini pada 2024, jauh ketinggalan berbanding blok lain seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mencatatkan tahap perdagangan intra-EU sebanyak 60 peratus.

-- BERNAMA




#ASEAN #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #perdagangan intrarantau #Intra-ASEAN