BISNES

ASEAN sasar jadi hab pelaburan bertanggungjawab serantau - PM Anwar

Azyyati Ahmad 06/11/2025 | 03:10 MYT
Perdama Menteri Anwar menegaskan, Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026-2030 yang dilancarkan hari ini bakal menjadikan rantau ini sebagai destinasi utama pelaburan bertanggungjawab untuk jangka panjang. - Foto Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026-2030 yang dilancarkan hari ini bakal menjadikan rantau ini sebagai destinasi utama pelaburan bertanggungjawab untuk jangka panjang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelan yang dikemas kini bersama Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan mencerminkan komitmen serantau terhadap piawaian kemampanan yang selari dengan jangkaan global.

“Pasaran modal yang baik penting untuk menggerakkan sumber, memperuntukkan modal secara cekap dan menyokong pertumbuhan. Ia juga perlu mengekalkan integriti, akauntabiliti dan amanah,” katanya dalam ucaptama Persidangan Antarabangsa ACMF di ibu negara.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, pelabur masa kini semakin menuntut ketelusan, amalan beretika dan keselarasan dengan prinsip kemampanan, menjadikan pematuhan kepada prinsip tersebut bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

“Dengan menegakkan prinsip keadilan, kejelasan dan tadbir urus yang baik, kita dapat menarik modal berkualiti tinggi serta memperkukuh keyakinan pasaran dan kepercayaan awam,” tambahnya.

Anwar turut menekankan peranan penting ACMF dan pasaran modal ASEAN dalam bukan sahaja menggerakkan aliran modal, tetapi juga memperkukuh keyakinan, membuka peluang dan menjana kemakmuran bersama untuk rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi menjelaskan, Pelan Tindakan ACMF 2026-2030 dibina atas lima tonggak strategik sebagai asas kepada pembangunan ekosistem pasaran modal ASEAN yang lebih bersepadu.

Lima tonggak tersebut merangkumi:

* Kemampanan
* Keterangkuman kewangan
* Keterhubungan serantau
* Transformasi digital
* Penambahbaikan struktur institusi ACMF


“Pelan ini menyediakan peta hala tuju menyeluruh untuk membawa pembangunan pasaran modal serantau ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Pelan Tindakan ACMF 2026-2030 dijangka menjadi pemangkin kepada integrasi pasaran modal ASEAN yang lebih mampan, telus dan inklusif, sejajar dengan aspirasi rantau ini untuk menjadi kuasa ekonomi yang progresif dan berdaya tahan.



#ASEAN #hab pelaburan serantau #ACMF #PM Anwar Ibrahim