Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
BISNES

ASEAN sasar kerjasama lebih kukuh dengan Bank Dunia dalam jana pekerjaan

Bernama 27/10/2025 | 22:10 MYT
Liew Chin Tong (kiri) berjabat tangan dengan Dr Carlos Felipe Jaramillo pada pertemuan sempena mesyuarat dua hala di Kuala Lumpur, pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN dalam usaha memperkukuh kerjasama dengan Bank Dunia dalam dasar pewujudan pekerjaan berikutan rantau ini berdepan cabaran yang meningkat daripada kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan pesat pekerjaan gig.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, pada peringkat global, dunia sedang berdepan krisis pekerjaan dengan semakin ramai yang beralih kepada pekerjaan gig.

"Di negara seperti Malaysia dan Indonesia, ramai orang terlibat dalam pekerjaan gig dan masyarakat kini berdepan situasi AI mengambil alih sebahagian pekerjaan.

"Walaupun industri tidak menjana peluang pekerjaan yang mencukupi, kita masih mempunyai populasi generasi muda dan ASEAN perlu mengambil langkah untuk mengatasinya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat dua hala dengan Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik, Dr Carlos Felipe Jaramillo.

Turut hadir Pengarah Wilayah Kumpulan Bank Dunia untuk Filipina, Malaysia dan Brunei, Dr Zafer Mustafaoglu dan Pengurus Wilayah Kumpulan Bank Dunia untuk Malaysia, Judith Anne Elizabeth Green.

Beliau berkata, Bank Dunia telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap isu pekerjaan dengan menerbitkan beberapa kajian terkini mengenai perkara tersebut.

Oleh itu, katanya, ASEAN perlu bekerjasama rapat dengan Bank Dunia untuk memanfaatkan kepakarannya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti.

"Kita perlu mewujudkan pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan mewujudkan rasa mobiliti sosial yang meningkat," katanya.

Beliau berkata, langkah ini untuk memastikan negara terus makmur sebelum populasi menua dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Mesyuarat dua hala itu diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan oleh Malaysia dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA




#ASEAN #Bank Dunia #pekerjaan gig #kecerdasan buatan #Liew Chin Tong