BUSINESS
ASEAN25: Hidupkan semula RCEP, elak dibelenggu tarif Trump - Pakar ekonomi

Menurut Jomo, negara kecil misalnya Malaysia tidak mempunyai cip tawar-menawar lumayan seperti kuasa besar lain untuk memperoleh tempat selesa bagi mengharungi ribut tarif Trump. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Dunia dihuni hari ini berbahaya dan penuh ketidaktentuan, tegas pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram mengenai suasana perang perdagangan global susulan tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut Jomo, negara kecil misalnya Malaysia tidak mempunyai cip tawar-menawar lumayan seperti kuasa besar lain untuk memperoleh tempat selesa bagi mengharungi ribut tarif Trump.
Oleh itu katanya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 kelak perlu dimanfaatkan untuk membentuk solidariti, supaya dengan kebersamaan ini boleh meraih kedudukan lebih kukuh ketika rundingan.
Namun ujarnya, wujud cabaran susulan konflik silam antara negara rantau masing-masing."42 tahun dahulu, empat pemimpin negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina berjaya mencapai kata sepakat tentang Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Sebelum itu, semua negara terlibat ini menghadapi ketegangan buat sekian lama, tiada jalan tengah dapat dicari.
"Sama situasi hari ini, ASEAN Plus Three (APT) merangkumi China, Korea Selatan dan Jepun tidak begitu sehaluan, menyebabkan impak kerjasama mereka kurang kelihatan.
"Sejarah hitam wujud antara ketiga-tiga negara ini yang masih belum dapat diketepikan, sebab itu perkembangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tidak begitu positif," jelas Jomo.
Jomo berkata demikian dalam forum Universiti Malaya yang mengangkat topik 'Tariff War: Malaysia In The Midst Of Global Uncertainties' pada Khamis.
Tegas Jomo, RCEP yang merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas adalah kunci pertumbuhan ekonomi bagi Asia Tenggara dan rantau sekitarnya.
Untuk rekod, RCEP mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2022 melibatkan 10 negara anggota ASEAN bersama Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan New Zealand.
Katanya lagi, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 adalah masanya untuk menetapkan agenda demi kemaslahatan politik dan ekonomi masa hadapan, sekali gus merangsang kemampuan rantau secara keseluruhannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami