BUSINESS
ASEAN25: Pacu keyakinan pelabur, Malaysia dijangka jadi hab pelaburan serantau

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan pada 26 dan 27 Mei lalu di ibu negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Bursa Malaysia, menerusi pelbagai inisiatif strategik yang menekankan keterangkuman, kemampanan dan keterhubungan serantau.
Pelancaran Deklarasi ASEAN 2045: Our Shared Future merupakan antara pencapaian utama yang menandakan komitmen jangka panjang ke arah komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan inovatif.
Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata Malaysia, yang mempengerusikan ASEAN pada 2025, dilihat memainkan peranan penting dalam mengemudi pelan strategik ini.
“Lebih 500 langkah strategik di bawah pelan ASEAN 2045 mencerminkan hala tuju ekonomi serantau yang mampan dan inklusif, sekaligus memperkukuh naratif keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama," jelasnya.Kerjasama strategik yang diperkukuh menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan ASEAN-GCC-China turut membuka lembaran baharu dalam perdagangan dan pelaburan.
"Dengan nilai dagangan ASEAN-GCC mencecah AS$130.7 bilion, pelaburan AS$390.2 juta serta hubungan dagangan ASEAN-China bernilai AS$696.7 bilion, Malaysia berpotensi menjadi hab perdagangan serantau yang lebih kukuh.
“Malaysia berada dalam posisi strategik untuk menjadi jambatan pelaburan antara ASEAN dan ekonomi besar seperti China dan negara-negara Teluk.
"Perkembangan ini berpotensi memberi limpahan terus kepada pasaran modal tempatan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Khamis.
Sementara itu, unjuran pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia sebanyak RM300 bilion menjelang 2030, seperti dilaporkan Juwai IQI, turut memberi isyarat positif kepada pasaran saham, terutamanya dalam sektor hartanah, teknologi dan infrastruktur.
“Dengan eksport Malaysia dijangka mencecah RM2.133 trilion menjelang 2030, kita akan menyaksikan pertumbuhan dalam sektor pekerjaan dan pendapatan. Ini semua faktor sokongan kepada Bursa Malaysia,” tambahnya.
Beberapa sektor yang bakal meraih manfaat Sidang Kemuncak dilaksanakan dengan berkesan termasuk teknologi, tenaga hijau, hartanah, kewangan, dan infrastruktur.
Malaysia dijangka memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau bukan sahaja melalui pelaksanaan dasar konsisten, tetapi juga melalui kepimpinan dalam pembangunan standard halal ASEAN, pelaburan mampan dan ekosistem syarikat pemula (startup).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan pada 26 dan 27 Mei lalu di ibu negara.
Bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", edisi tahun ini menandakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami