Skip to main content

Bisnes

Aset koperasi Wilayah Persekutuan melonjak hampir 10 peratus kepada RM24.65 bilion

Ahmad Norihan Jalal
Ahmad Norihan berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan 2026 (MAGK’26) - Foto Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah aset gerakan koperasi di Wilayah Persekutuan meningkat 9.82 peratus kepada RM24.65 bilion pada 2025 berbanding RM22.45 bilion pada tahun sebelumnya, mencerminkan perkembangan berterusan sektor itu sebagai antara pemain ekonomi di wilayah berkenaan.

Selain pertumbuhan aset, jumlah perolehan koperasi turut meningkat 4.92 peratus kepada RM7.46 bilion pada 2025 berbanding RM7.11 bilion pada 2024.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata jumlah anggota koperasi turut meningkat 5.69 peratus kepada 2.51 juta orang, manakala jumlah syer dan yuran meningkat 1.67 peratus kepada RM9.59 bilion dalam tempoh sama.

Beliau menjelaskan bilangan koperasi di Wilayah Persekutuan juga meningkat daripada 1,214 kepada 1,223.

"Kalau kita lihat, kebanyakan koperasi yang berjaya itu adalah koperasi yang besar dan koperasi yang nampak megah itu sebenarnya berada di Wilayah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pencapaian itu memperlihatkan kedudukan gerakan koperasi Wilayah Persekutuan yang kukuh, khususnya dengan kehadiran banyak koperasi berskala besar yang terlibat dalam sektor perbankan, kredit dan kewangan.

Bagaimanapun, Ahmad Norihan berkata pertumbuhan dari sudut kewangan perlu disertai pengurusan yang baik bagi memastikan kekuatan koperasi dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Beliau menambah prestasi koperasi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan saiz perniagaan atau angka perolehan, sebaliknya aspek tadbir urus, pematuhan serta pengurusan risiko turut menjadi asas penting kepada kelangsungan sesebuah koperasi.

Malah, ujarnya, kecemerlangan perniagaan perlu berjalan seiring dengan pematuhan terhadap Akta Koperasi serta peraturan yang ditetapkan.

“Koperasi yang hebat bukan sekadar menyesuaikan diri dengan masa depan, malah membentuk masa depan,” kata Ahmad Norihan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pencapaian koperasi di Wilayah Persekutuan perlu dilihat dalam konteks peranan wilayah itu sebagai pusat kegiatan ekonomi dan kewangan negara.

Menurutnya, sebahagian besar koperasi berskala besar berada di Wilayah Persekutuan berikutan kedudukan ekonominya serta kehadiran pemain utama dalam sektor kewangan dan kredit.

Bagaimanapun, Ahmad Norihan menegaskan prestasi itu tidak bermakna sumbangan koperasi di negeri-negeri lain kurang penting, kerana koperasi di luar Wilayah Persekutuan turut memainkan peranan besar dalam sektor seperti pertanian, pelancongan, perkhidmatan serta borong dan runcit.

Sementara itu, sebanyak 55 koperasi menerima pengiktirafan pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan 2026 (MAGK’26), terdiri daripada 50 koperasi terbaik, dua Koperasi Premier dan tiga penerima Anugerah Khas.

Pengiktirafan itu dinilai berdasarkan faktor kewangan dan bukan kewangan, termasuk pencapaian perolehan, pemilikan aset dan pengurusan kewangan, selain pematuhan perundangan, tadbir urus serta sumbangan koperasi kepada anggota.

Must Watch Video

Advertisement