Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mengumumkan dividen keseluruhan berjumlah 4.0 sen sesyer untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2013.

Menurut pengerusinya, Tun Zaki Azmi, jumlah tersebut merupakan nisbah pembayaran tahunan kira-kira 100%.

Bagi suku pertama tahun kewangan semasa, dividen interim sebanyak 2.0 sen sesyer telah diisytihar, peningkatan 33% daripada dividen interim daripada 1.5 sen sesyer yang dibayar pada 2 suku yang lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan mengumumkan, Astro mencapai pertumbuhan hasil sebanyak 10% kepada RM 4.3 bilion.

Pada suku pertama tahun kewangan semasa, pelanggan TV berbayar bertambah 40,000 ke 3.32 juta sementara pelanggan NJOI bertambah 55,000 ke 256,000 menjadikan jumlah pelanggan kesemuanya 3.58 juta mewakili 53% daripada keseluruhan kediaman TV di Malaysia.

Pelanggan Astro B.yond meningkat ke 2.18 juta daripada keseluruhan pelanggan TV berbayar. Daripada 2.18 pelanggan Astro B.yond, 1.40 juta adalah pengguna perkhidmatan definisi tinggi manakala 343,000 melanggan perakam video peribadi (PVR).

Datuk Rohana turut menekankan Astro tetap fokus untuk terus giat melaksanakan usaha strategik utama bagi mencapai peningkatan pelanggan, hasil purata setiap pelanggan (ARPU), dan hasil pengiklanan (AdEx) dengan menyediakan lebih banyak pilihan, pengisian lebih menarik, keselesaan dan nilai buat pelanggan.

Laporan lanjut menyusul menerusi Buletin Awani dan Bisnes Awani.