Astro Malaysia Holdings Berhad (ASTRO) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 7% kepada RM448 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2014.

Pertumbuhan positif itu dipacu peningkatan perolehan 12% kepada RM4.8 bilion sekaligus mengekalkan momentum pertumbuhan dua digit.

Ia didorong pertambahan pelanggan TV berbayar, pelanggan Njoi, Hasil Purata Setiap Pelanggan ARPU dan Hasil Pengiklanan ADEX.

"Kami telah mengotakan janji kami, pada tahun kewangan yang lepas kami telah mencapai pertumbuhan pendapatan untuk empat suku berturut turut, dua digit secara keseluruhan" kata Ketua Pegawai Eksekutif ASTRO, Datuk Rohana Rozhan.

Susulan prestasi kewangan tersebut, ASTRO mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 2.0 sen sesaham dan cadangan tambahan dividen akhir 1.0 sen, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

Ia sekaligus menjadikan dividen keseluruhan berjumlah 9.0 sen sesaham untuk tahun kewangan tersebut selepas ASTRO membayar dividen 2 sen sesaham pada suku tahun sebelum ini.

Bagi tahun kewangan yang sama ASTRO mencatatkan peningkatan jumlah pelanggan sebanyak 400,000 menjadikan jumlah keseluruhan pelanggan ASTRO kini mencecah 3.9 juta.

Ia merangkumi 56% segmen isi rumah dengan 442,000 merupakan pelanggan Njoi dan selebihnya adalah pelanggan TV berbayar.

Pelaksanaan penukaran kepada platform B.yond menyaksikan peningkatan ARPU kepada RM96 daripada RM93.2.

Pada masa sama, ASTRO turut mensasarkan untuk mengukuhkan kandungan siaran sukan menerusi tayangan 64 siaran langsung Piala Dunia FIFA Brazil 2014 menerusi saluran berdefinisi tinggi dan aplikasi tablet, telefon pintar dan platform komputer.