Astro Malaysia Holdings Berhad (AMHB) mencatat pertumbuhan hasil dua angka iaitu 11 peratus kepada RM1.25 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2015.

Keuntungan selepas cukai AMHB mencatatkan peningkatan 13 peratus kepada RM129 juta.

Perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 16 peratus kepada RM441 juta, berbanding RM381 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi, Astro memasuki tahun kewangan baru dengan terus melaksanakan strategi pertumbuhan dan mengekalkan keupayaan penjanaan tunai yang kukuh.

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 2.25 sen sesaham, 12.5 peratus lebih tinggi berbanding dividen interim 2.0 sen sesaham pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya.
Jumlah pelanggan keseluruhan Astro meningkat 416,000 tahun ke tahun ke empat juta.

Hasil purata setiap pelanggan (ARPU) meningkat ke RM97.1 didorong terutamanya langganan produk dan perkhidmatan tambah nilai di platform Astro B.yond.

Manakala demam Piala Dunia telah menyaksikan lebih 90,000 pelanggan Astro menaiktaraf pakej sukan bagi mengikuti perlawanan secara langsung dan perkembangan terkini Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil.

Disamping itu, sejumlah 72,000 pelanggan memilih untuk melanggan pas bermusim bagi tujuan sama.

"Liputan Piala Dunia 2014 Astro adalah yang terbaik. Kami menawarkan liputan menyeluruh bukan hanya untuk saluran definisi standard, definisi tinggi dan "Astro on the go".

"Malah apa yang kami tawarkan kepada pelanggan sukan, mereka dapat menikmati liputan Piala Dunia sebagai sebahagian daripada pakej langganan. tambahan, kami juga menawarkan pas langganan bermusim", kata Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Dato' Rohana Rozhan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di ibu negara hari ini.

Menurut Rohana peningkatan itu sekaligus menyaksikan keghairahan Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil memacu peningkatan kadar tontonan pada siaran langsung saluran sukan Astro.

Setakat ini katanya 4 perlawanan utama telah berjaya menarik hampir sejuta atau lebih jumlah penonton.

Perlawanan pusingan pertama kumpulan G yang menyaksikan Jerman menundukkan Portugal 4 - 0 mencatatkan jumlah penonton tertinggi dengan 1.5 juta.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata Astro telah mengeksport dan berjaya menjual kandungan kepada Singapura.

Beliau berkata Indonesia pula mahukan program hokkien, begitu juga dengan pasaran indochina yang juga berminat untuk membeli program Astro.

"kami kini di peringkat perbincangan, namun maklum balas yang diterima kini amat memberangsangkan dan kami berharap dapat mengembangkan lagi pasaran kandungan". katanya di sini hari ini.