Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) semalam mengumumkan keputusan suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2016, dengan peningkatan hasil tahun ke tahun sebanyak 6 peratus kepada RM1.3 billion, peningkatan EBITDA sebanyak 7 peratus kepada RM472 juta, dan PATAMI meningkat 31 peratus kepada RM168 juta.

“Kumpulan Astro meneruskan janji untuk menepati komitmen penghasilan nilai buat pemegang saham dan polisi dividen yang progresif.

"Dengan itu, pihak Lembaga Pengarah sukacita mengumumkan dividen interim pertama 22 peratus lebih tinggi sebanyak 2.75 sen sesaham,” kata Pengerusi Astro Tun Zaki Azmi.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Datuk Rohana Rozhan berkata sebagai sebuah syarikat yang berteraskan kandungan dan pelanggan, Astro memanfaatkan kepelbagaian produk yang ditawarkan menerusi platform ‘Tonton, Dengar, Baca dan Beli’ untuk menggerakkan pertumbuhan dalam suasana pasaran pengguna yang perlahan.

“Menerusi tawaran dwi-model kami, TV berbayar dan langganan percuma, pelanggan kami meningkat sebanyak 525,000 bagi tahun ke tahun kepada 4.5 juta isi rumah, mewakili 64 peratus daripada jumlah isi rumah Malaysia.

“Perkhidmatan TV satelit percuma kami, NJOI, kini semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia dengan meraikan pelanggan kesejutanya di Q1FY16. Kami terus mengukuhkan kandungan dalam NJOI dengan melancarkan dua saluran HD, Astro Xi Yue HD dan Astro Maya HD, di samping menawarkan pelbagai pilihan pra-bayar untuk pembelian kandungan premium,” katanya.

Beliau berkata pengguna Malaysia semakin gemar menikmati kandungan di pelbagai jenis peranti di rumah atau dalam perjalanan.

“Kami berazam untuk mendorong penggunaan dekoder bersambung dan PVR untuk meningkatkan pengambilan kandungan atas permintaan, iaitu box set, filem dan TV. Pelanggan kami kini memiliki kandungan atas permintaan yang hebat, termasuk ‘Game of Thrones’, ‘The Lord of the Rings’, ‘Harry Potter’, dan banyak lagi. Tawaran ‘Tonton, Dengar, Baca dan Beli’ kami boleh didapati dengan mudah di seluruh platform TV dan mudah-alih,” katanya.

Astro juga telah melancarkan Raku, perkhidmatan penstriman radio dan muzik berciri tempatan yang boleh didapati secara mudah alih dan menerusi web.

“Menerusi Raku, pengguna boleh strim berjuta-juta lagu dan video, dengar lebih daripada 20 stesen radio live, playlist yang dipilih oleh artis tempatan terkemuka seperti Yuna, Paper Plane Pursuit, Dasha Logan dan ramai lagi, rancangan bual bicara berciri tempatan dan persembahan live di No Black Tie dan Laundry menerusi peranti digital.

“Di samping itu, 17 e-majalah kini boleh didapati menerusi aplikasi Go Read kami, sementara Go Shop pula mengubah cara rakyat Malaysia membeli-belah dengan menawarkan pengalaman unik 24/7 menerusi platform TV, mudah alih dan dalam talian," katanya.