MADRID: Usaha memperluas pasaran hasil pertanian Malaysia ke peringkat global menerima rangsangan menerusi pertukaran tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) antara usahawan tempatan dan syarikat antarabangsa sempena Fruit Attraction 2026, di sini.
Kerjasama dengan rakan antarabangsa dari Sepanyol, Itali, Maghribi, Jepun dan India itu mempunyai anggaran nilai potensi transaksi keseluruhan mencecah RM216.94 juta.
Ia meliputi penerokaan pembangunan pasaran, pengedaran, cadangan usaha sama serta penggunaan teknologi pertanian.
Antara peluang yang dikenal pasti termasuk pembangunan platform pengedaran lada hitam premium Borneo ke Eropah, selain penerokaan pengedaran nanas Sarawak Gold 1 (SG1) dan MD2 Malaysia ke Maghribi.
Kerjasama dengan sebuah syarikat Jepun pula menyasarkan program bekalan nanas Malaysia selama lima tahun dengan nilai komersial indikatif RM156.9 juta atau kira-kira €33.3 juta.
Bagaimanapun, nilai berkenaan merupakan unjuran potensi yang tertakluk kepada permintaan pasaran, kesiapsiagaan pembekal dan persetujuan komersial.
Penyertaan Malaysia di Fruit Attraction 2026 yang berlangsung di IFEMA Madrid dari 6 hingga 8 Oktober merupakan penyertaan julung kali Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada ekspo antarabangsa berkenaan dalam usaha meneroka pasaran eksport di benua Eropah.
Penyertaan negara diterajui Axis Commerce yang bertindak sebagai Pesuruhjaya Malaysia, menerusi kerjasama strategik dengan usahawan di bawah bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Kerajaan Negeri Selangor.
Pavilion Malaysia dirasmikan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi dan turut menyaksikan pelancaran rasmi nanas varieti SG1 untuk pasaran Eropah.
Selain SG1, pavilion berkenaan mengetengahkan nanas MD2, nangka madu J33, buah-buahan tropika serta lada hitam premium dari Borneo.
Pavilion Malaysia turut menerima kunjungan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Haznah Md. Hashim.
Fruit Attraction 2026 yang dirasmikan Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sepanyol menghimpunkan lebih 2,500 syarikat pembekal dan pengedar dari 78 negara.
Hubungkan pengusaha tempatan dengan pasaran dunia
Axis Commerce yang diasaskan bekas Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan sektor pertanian dan makanan Malaysia dengan peluang pasaran, teknologi serta pelaburan antarabangsa.
Usaha itu antara lain digerakkan menerusi Malaysia Premium Produce Mission (MPPM) yang menghimpunkan agensi kerajaan, pengusaha, pengeksport dan rakan industri bagi memperkenalkan produk premium Malaysia kepada pasaran global.
Menerusi MPPM, pengeluar dan pengeksport tempatan turut dihubungkan dengan pembeli serta rakan perdagangan antarabangsa bagi membuka ruang kepada pengembangan pasaran yang lebih tersusun.
Penyertaan di Madrid itu juga menjadi peluang untuk mengetengahkan nanas SG1 dari Sarawak ke pasaran Eropah, di samping meneruskan usaha penembusan pasaran bagi varieti MD2 dan nangka madu J33.
Pada masa sama, kerjasama perdagangan yang diteroka menerusi tujuh MoU berkenaan membuka ruang kepada pengusaha tempatan untuk memahami keperluan pasaran luar serta meningkatkan daya saing produk masing-masing.
Teknologi perkukuh kesiapsiagaan eksport
Selain memperluas akses pasaran, Axis Commerce turut memberi perhatian kepada penggunaan teknologi bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian negara.
Ia termasuk kerjasama membabitkan nanoteknologi, perisian pertanian, sistem kebolehkesanan produk atau traceability, serta teknologi bagi memanjangkan jangka hayat hasil segar.
Penggunaan teknologi berkenaan berpotensi membantu meningkatkan kualiti dan mengekalkan kesegaran produk, selain memperkukuh kesiapsiagaan hasil pertanian Malaysia untuk pasaran eksport.
Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia pada Fruit Attraction 2026 menjadi platform untuk mempertemukan pengusaha tempatan dengan pembeli serta rakan perdagangan antarabangsa, di samping meneroka pasaran baharu bagi produk agromakanan negara.