Bajet 2017: Kos sara hidup antara fokus utama kerajaan

Rizal Zulkapli
Ogos 1, 2016 10:55 MYT
Kenaikan kos sara hidup memberikan tekanan kepada rakyat terutama kumpulan B40 dan M40. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Kerajaan akan mengkaji kenaikan kos sara hidup terutama melibatkan kumpulan B-40 dan M-40 dalam merangka Bajet 2017.
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), dengan peningkatan harga barangan secara am, kumpulan ini berdepan kesukaran untuk mengekalkan standard kehidupan mereka.
MoF turut mengumumkan, Bajet 2017 akan dibentangkan pada 21 Oktober 2016.
Tambahnya, melalui Bajet 2017, kerajaan komited untuk menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh.
Ini termasuk dengan mengkaji 2 komponen utama, pertama harga barangan dan perkhidmatan asas dan kedua, pendapatan.
Menurut MoF, pertukaran gaya hidup masa kini turut mengakibatkan barangan seperti kereta, telefon bimbit, komputer dan akses internet tersenarai dalam kumpulan barangan keperluan.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2017 untuk kos sara hidup di Putrajaya.
Mesyuarat turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar, wakil-wakil sektor swasta, NGO dan agensi kerajaan.
Pada 16 Jun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Perundingan Bajet 2017 dengan tema 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat'.
#B40 #Bajet 2017 #Kos sara hidup meningkat #M40 #Mesyuarat Perundingan Bajet 2017