Bajet 2022 terus perkasa sistem kesihatan negara - PM

Bernama
Oktober 27, 2021 12:13 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemubual berkaitan Bajet 2022, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bajet 2022 akan memberi tumpuan utama untuk melindungi, memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan selain membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pasca pandemik yang lebih mampan.
"Sekarang kita harapkan vaksin dari negara lain, ada satu ketika vaksin (yang ditempah) lewat sampai sehingga memberi kesan kepada kita (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan).
Menurut perdana menteri walaupun sudah lebih 70 peratus keseluruhan populasi negara lengkap divaksin, namun ia bukan alasan untuk terlalu selesa dengan keadaan tersebut sebaliknya masih perlu berhati-hati dan meneruskan disiplin mengikuti prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), antara keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang adalah mengenai penyusunan semula sistem kesihatan negara.
Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia, katanya, akan diperkenalkan sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.
Menjelas lanjut mengenai Bajet 2022 kepada sektor kesihatan, perdana menteri berkata beliau telah meminta Kementerian Kewangan supaya memberi penekanan bukan sahaja terhadap pembinaan hospital baharu, tetapi juga Klinik Desa.
Katanya pembinaan Klinik Desa terutama di Sabah dan Sarawak amat penting disebabkan kedudukan hospital yang jauh serta laluan sukar untuk mendapatkan perkhidmatan di premis kesihatan tersebut.
-- BERNAMA
#bajet 2022 #ismail sabri yaakob #KKM #COVID-19