Bajet 2023: Khazanah komited laksanakan pelbagai inisiatif

Bernama
Oktober 8, 2022 05:40 MYT
Amirul Feisal berkata inisiatif penjanaan semula bandar Khazanah, ThinkCity, akan menerima peruntukan sebanyak RM10 juta untuk mentransformasikan Kuala Lumpur menjadi hab kreatif dan budaya. - Khazanah
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dan syarikat penerima pelaburannya komited untuk memainkan peranan mereka dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam Bajet 2023.
Pengarah Urusannya Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dalam satu kenyataan berkata menerusi program MySTEP, Khazanah akan memainkan peranan utama dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan 35,000 peluang pekerjaan.
Di bawah Dana Impak, peruntukan sebanyak RM1 bilion akan digunakan bagi pelaburan strategik dalam enam bidang iaitu Masyarakat dan Teknologi Digital, Kesihatan Berkualiti dan Pendidikan bagi Semua, Kerja yang Baik dan Mobiliti Sosial, Jaminan Makanan dan Tenaga, Membina Daya Tahan Iklim dan Bersaing di Pasaran Global.
"Daripada jumlah ini, RM230 juta telah dikenal pasti bagi pendigitalan dan teknologi, menumpukan kepada membina ekosistem pemula niaga domestik dan tenaga kerja, RM200 juta bagi pelaburan dalam projek meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekerbun kecil dan RM150 juta untuk menyokong pembangunan penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi ekosistem pasaran karbon Malaysia," katanya.
Amirul Feisal berkata inisiatif penjanaan semula bandar Khazanah, ThinkCity, akan menerima peruntukan sebanyak RM10 juta untuk mentransformasikan Kuala Lumpur menjadi hab kreatif dan budaya.
SEGALANYA MENGENAI BAJET 2023, KLIK DI SINI!
Menurutnya, Yayasan Hasanah bekerjasama dengan kerajaan sejak bermulanya pandemik COVID-19 untuk menjalankan 177 projek secara kerjasama dengan 125 perusahaa sosial dan pertubuhan masyarakat awam, yang memberikan manfaat kepada 1.2 juta rakyat Malaysia.
Yayasan Hasanah akan menerima peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Bajet 2023 untuk meneruskan usaha pembinaan komunitinya seperti peningkatan pendapatan, pendidikan inklusif dan program pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd akan merintis projek Internet luar bandar yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 60,000 penduduk luar bandar serta memacu peralihan tenaga bersih dengan melabur sebanyak RM165 juta dalam prasarana mengecas kenderaan elektrik dan solar atas bumbung sehingga 2025.
"Dalam keadaan ini, belanjawan itu sejajar dengan fokus Kementerian Kewangan untuk lebih responsif kepada keperluan jangka pendek rakyat dan perniagaan dan juga bertanggungjawab serta reformis dalam membina daya tahan.
"Ia membentuk pakej dasar menyeluruh ke arah memantapkan pemulihan ekonomi Malaysia, mengukuhkan keseluruhan daya tahan Malaysia untuk mendepani kesukaran pada masa hadapan, memajukan agenda pembangunan inklusif dan mampan serta melaksanakan pelbagai pembaharuan untuk membantu negara mengharungi persekitaran global baharu," katanya.
-- BERNAMA
#Bajet 2023 #Khazanah #MySTEP #GLC #Amirul Feisal Wan Zahir