Bajet 2023: Perbelanjaan pembangunan tertinggi dalam sejarah, sokong RMK-12

Astro Awani
Oktober 9, 2022 07:56 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata peruntukan tersebut adalah yang tertinggi dalam sejarah, dengan peningkatan sebanyak RM19.4 bilion atau 25.7 peratus daripada RM75.6 bilion pada Bajet 2022 - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion dalam Bajet 2023 mampu menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021 hingga 2025 bagi mencapai objektif Keluarga Malaysia makmur, inklusif dan mampan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata peruntukan tersebut adalah yang tertinggi dalam sejarah, dengan peningkatan sebanyak RM19.4 bilion atau 25.7 peratus daripada RM75.6 bilion pada Bajet 2022.
"Sebanyak 7,615 projek pembangunan akan dilaksanakan pada 2023 merangkumi 1,724 projek baharu dan 5,891 projek sambungan.
"Aset-aset kerajaan perlu disenggara secara berkala dengan baik bagi memastikan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sentiasa dalam keadaan baik untuk meningkatkan kualiti penyampaian. Sehubungan dengan itu, Bajet 2023 telah memberi keutamaan yang tinggi kepada penyelenggaraan aset di semua kementerian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi mengurangkan jurang pembangunan wilayah, Mustapa berkata kerajaan telah memperuntukkan 50.3 peratus perbelanjaan pembangunan asas kepada enam negeri yang kurang membangun bagi melaksanakan projek termasuk infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan serta kemudahan pendidikan.
Ujarnya lagi, sebanyak RM6.3 bilion diperuntukkan kepada Sabah dan RM5.4 bilion kepada Sarawak, iaitu lebih tinggi berbanding peruntukan pada tahun ini.
Selain itu, Mustapa menambah sejumlah RM1 bilion disediakan khusus bagi merancakkan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) bagi 2023, iaitu meningkat lima kali ganda berbanding RM150 juta pada 2022.
"Sasaran isi rumah miskin tegar yang akan manfaat daripada BMTKM juga akan meningkat daripada 10,000 pada tahun ini kepada lebih 50,000 pada 2023.
"Ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan Keluarga Malaysia pada akhir 2025 seperti yang telah ditetapkan dalam RMK-12," jelas beliau.
BACA: Teks penuh ucapan Bajet 2023
SEGALANYA MENGENAI BAJET 2023, KLIK DI SINI!
Dalam pada itu, Mustapa berkata Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan akan memantapkan lagi penyelarasan dan pelaksanaan BMTKM bagi memastikan peningkatan taraf hidup isi rumah miskin tegar, sekali gus keluar daripada kumpulan kemiskinan tegar pada akhir 2025.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion untuk Bajet 2023.
Jumlah itu meningkat RM40.2 bilion berbanding RM332.1 bilion yang diperuntukkan bagi 2022.
#Bajet 2023 #Peruntukan pembangunan Bajet 2023 #Bantuan B40 Bajet 2023 #Bonus penjawat awam Bajet 2023