KUALA LUMPUR: Bajet 2023 perlu diseimbangkan dari segi ekonomi, perlindungan sosial dan alam sekitar dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antabangsa Malaysia Prof Madya Zainal Abidin Sanusi berkata ketiga-tiga aspek itu jelas terkandung dalam bajet setiap tahun, namun kurang diketengahkan erti kesejahteraan dalam peruntukan yang ditetapkan.

Beliau berkata kesejahteraan juga perlu mempunyai konsep yang sama dengan Keluarga Malaysia dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) supaya negara bergerak maju secara seimbang.

"Kesejahteraan menyeluruh iaitu menyeimbangkan tiga aspek ini (ekonomi, perlindungan sosial dan alam sekitar) dan apabila nak bagi peruntukan, pastikan ia seimbang," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Selain itu katanya, masalah yang berlaku dalam bajet-bajet terdahulu ialah koordinasi antara perlindungan sosial iaitu pelaksanaan terhadap golongan yang sepatutnya mendapat peruntukan ataupun bantuan daripada kerajaan, justeru perkara itu perlu ditambah baik.

Menurut Zainal Abidin dalam konteks kelestarian alam sekitar pula, kerajaan perlu berbalik semula kepada daya tahan ekonomi dengan memberi fokus terhadap pemantauan serta penilaian pelaksanaan bajet berkenaan.

"Keseimbangan itu mesti meletakkan sistem pemantauan, penilaian dan koordinasi yang cukup kukuh, jadi, adakah kita melabur kepada perkara ini? Adakah kita melabur dari segi penyelenggaraan, maksudnya perbelanjaan pembangunan dan operasi.

"Kesediaan kita untuk melabur, memberikan peruntukan memastikan sistem pelaksanaan yang lancar. Sebenarnya silo antara agensi tetap berlaku dan kita tidak labur untuk menambah baik atau memecahkan silo itu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Mohd Zaidi Md Zabri berkata beliau mengharapkan supaya peruntukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dinaikkan lagi memandangkan negara masih berdepan pandemik COVID-19.

Mohd Zaidi berkata negara masih memerlukan peruntukan secukupnya dalam bidang kesihatan bagi memerangi COVID-19 habis-habisan.

"Kita sekarang masih lagi berdepan dengan long COVID-19 (kesan penyakit itu). Jadi dengan masalah doktor kontrak lagi, saya nampak keperluan kita adalah untuk memantapkan sistem kesihatan," katanya.

Selain itu, beliau berkata bantuan kepada golongan yang memerlukan harus diteruskan, tetapi perlu bersasar dan bukan secara pukul rata, manakala geran khusus mesti diwujudkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi menggalakkan perniagaan mereka secara digital, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman berkata kerajaan perlu membuat penambahan jumlah bantuan kepada semua kategori untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dalam Bajet 2023 kerana masyarakat kini giat memulihkan ekonomi kendiri selepas terjejas akibat COVID-19.

Selain itu, Azlin berkata kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap masyarakat daripada golongan kanak-kanak sehingga warga emas dalam memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

Beliau berkata suatu pelan tindakan kebangsaan pembangunan sosial perlu diwujudkan dengan memasukkan dalam skop tugas tentang pengupayaan golongan masyarakat minoriti seperti Orang Asli, masyarakat India dan peribumi Sabah serta Sarawak agar memastikan konsep kebersamaan dilaksanakan.

"Berbuat demikian menunjukkan keseriusan iltizam politik pimpinan atasan untuk memastikan pembangunan sosial, khususnya kesejahteraan keluarga dan masyarakat ditangani selaras dengan Dasar Keluarga Negara, Deklarasi Keluarga Malaysia dan Konsep Keluarga Malaysia," katanya.

-- BERNAMA