Bajet 2023: RM235 juta dana pembiayaan khas untuk usahawan wanita

Astro Awani
Oktober 7, 2022 08:38 MYT
Kerajaan menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM235 juta bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik straegi perniagaan mereka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM235 juta bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik straegi perniagaan mereka.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana pembiayaan itu adalah di bawah bebeberapa skim seperti Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, Dananita MARA dan Bizlady Bank Rakyat.
“Setakat Oktober 2022 , wanita memegang 29 peratus daripada komposisi Ahli Lembaga Pengarah bagi 100 syarikat tersenarai awam utama dan semua syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
"Bagi terus memperkasa wanita di sektor korporat, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita di peringkat kepimpinan korporat.
"Saya percaya parti-parti politik juga sedang giat mengenal pasti dan berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita pada PRU akan datang,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen, pada Jumaat.
Tambah beliau, kerajaan juga bercadang mengecualikan cukai kepada wanita yang mengambil tempoh ‘career break’.
Jelasnya, pengecualian cukai itu adalah bagi pendapatan yang mereka peroleh dalam tahun taksiran bermula tahun 2023 hingga 2028.
#Bajet 2023 #Malaysia Bangkit #dana usahawan wanita #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz