[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
BUSINESS

Bank Dunia unjur pertumbuhan KDNK 2025 Malaysia pada 3.9 peratus

Bernama 25/04/2025 | 15:37 MYT
Pada Khamis, Gabenor BNM berkata unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 mungkin perlu disemak turun. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengunjurkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 3.9 peratus tahun ini berikutan cabaran global.
Dalam catatan di platform X menerusi akaun @ApurvaSanghi, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi menyatakan, "Dengan mengambil kira semua kemungkinan kekangan, kami (Bank Dunia) mengunjurkan kadar pertumbuhan 2025 Malaysia pada 3.9 peratus."
Bank Dunia juga memaklumkan unjuran pertumbuhan bagi negara ASEAN lain, dengan Vietnam dijangka mendahului pada 5.8 peratus, diikuti Indonesia pada 4.7 peratus, Filipina pada 5.3 peratus, Kemboja pada 4.0 peratus, dan Thailand pada 1.6 peratus.
Selain itu, unjuran bagi kadar pertumbuhan China adalah pada 4.0 peratus.
Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 yang pada masa ini disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus mungkin perlu disemak turun berikutan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata bagaimanapun, BNM tidak akan tergesa-gesa untuk melaraskan unjuran itu memandangkan belum ada sebarang perkembangan muktamad buat masa ini.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 bertajuk "A Critical Juncture amid Policy Shifts" yang dikeluarkan pada Rabu, telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus daripada 4.7 peratus, seiring dengan penurunan unjuran seluruh rantau.
-- BERNAMA
#Bank Dunia #pertumbuhan ekonomi #Malaysia #cabaran global #ASEAN