BISNES

Bank Islam lantik Raja Teh Maimunah sebagai CEO kumpulan

Bernama 06/02/2026 | 08:15 MYT
Sebelum menyertai Bank Islam, Raja Teh Maimunah merupakan CEO bank digital Islam pertama Malaysia, AEON Bank (M) Bhd.
KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melantik Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berkuat kuasa 1 April, 2026, menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed yang bersara awal pada Disember 2025.

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata pelantikan berkenaan dilaksanakan melalui proses pencarian yang rapi oleh lembaga pengarah bagi menilai calon-calon yang berkelayakan selaras keperluan tadbir urus korporat dan peraturan sedia ada.

Pengerusi Bank Islam Tan Sri Ismail Haji Bakar berkata kepimpinan Raja Teh Maimunah dalam kewangan Islam dan inovasi digital dilihat seiring dengan matlamat strategik bank itu.

"Lembaga pengarah yakin di bawah kepimpinannya, kumpulan ini akan mengukuhkan kedudukan pasaran, memacu inovasi, serta memberi nilai yang mampan kepada pihak berkepentingan, di samping mengekalkan standard tertinggi integriti dan pematuhan Syariah," katanya.

Beliau berkata Raja Teh Maimunah akan mengetuai fasa seterusnya penerapan dan transformasi digital kumpulan dengan menggabungkan kepakaran digital dan peranan Bank Islam selaku peneraju dalam kewangan Islam.

Berkelulusan Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari University of East London, Raja Teh Maimunah juga merupakan felo di Chartered Banker Institute dan Chartered Professional in Islamic Finance (CPIF).

Sebelum menyertai Bank Islam, beliau merupakan CEO bank digital Islam pertama Malaysia, AEON Bank (M) Bhd, dan bertanggungjawab membangunkan infrastruktur berasaskan awan yang menjadi rujukan inovasi digital patuh Syariah.

Selama 30 tahun dalam industri, beliau pernah memegang jawatan kanan di institusi kewangan terkemuka, antaranya Pengarah Urusan Wholesale Banking di AmBank Group, CEO Hong Leong Islamic Bank, dan Ketua Global Pasaran Islam di Bursa Malaysia.

Di Bursa Malaysia, beliau melancarkan Bursa Suq Al-Sila', platform dagangan komoditi sepenuhnya patuh Syariah yang pertama di dunia.

-- BERNAMA


#Bank Islam #CEO baharu #Raja Teh Maimunah #BIMB