Bank Muamalat raih anugerah global kewangan Islam di London

Bank Muamalat Malaysia Berhad mencatat pengiktirafan global apabila menerima World Outstanding Islamic Bank Excellence Award 2026 di London, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap kewangan Islam antarabangsa. - Gambar ihsan Bank Muamalat
London: Bank Muamalat Malaysia Berhad mencatat pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan World Outstanding Islamic Bank Excellence Award 2026 dalam satu majlis di London.
Pengiktirafan berprestij itu mencerminkan peningkatan kedudukan Bank Muamalat di peringkat global, selari dengan amalan tadbir urus yang kukuh serta peranannya dalam menyokong pembangunan kewangan Islam yang mampan dan inklusif.
Anugerah tersebut disampaikan sempena Conference on ASEAN at the Geopolitical Crossroads 2026, sebuah forum tertutup yang dianjurkan bersama oleh London School of Economics, KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) dan ASEAN Economic Club (AEC).
Persidangan berkenaan menghimpunkan pemimpin dunia, pembuat dasar kanan serta tokoh industri global bagi membincangkan peranan strategik ASEAN dalam landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
Pengiktirafan itu diterima oleh Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Tajuddin Atan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairul Kamarudin, mewakili institusi tersebut.
Acara berkenaan turut menampilkan ucapan utama oleh mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Pengerusi Commonwealth Enterprise and Investment Council (CWEIC), Lord Jonathan Marland sekali gus mencerminkan tumpuan antarabangsa terhadap peranan ekonomi ASEAN yang semakin berkembang.
Pemilihan Bank Muamalat bagi anugerah global itu mengambil kira prestasi kewangan yang konsisten, tadbir urus Syariah yang kukuh serta pendekatan inovatif dalam penyediaan penyelesaian kewangan Islam.
Panel penilai turut mengiktiraf kepimpinan Bank dalam penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kemajuan agenda pendigitalan serta sumbangan bermakna terhadap pembangunan sosioekonomi Malaysia.
Sementara itu, Khairul merakamkan penghargaan atas pengiktirafan berkenaan dan menegaskan ia merupakan hasil usaha kolektif seluruh warga kerja Bank Muamalat, disokong oleh pengurusan berdisiplin serta pengawasan kukuh Lembaga Pengarah.
“Pengiktirafan global berprestij ini mengukuhkan komitmen berterusan Bank Muamalat terhadap kecemerlangan, kepercayaan dan inovasi.
"Lebih penting, ia bukan sahaja mengiktiraf pencapaian Bank sebagai sebuah institusi, malah turut memperkukuh kedudukan dan kredibiliti Malaysia dalam landskap kewangan Islam global,” katanya.
Beliau berkata, anugerah itu menjadi dorongan untuk Bank Muamalat terus mempercepatkan agenda transformasi, memperluas keupayaan serta memperjuangkan kewangan berteraskan nilai, selari dengan aspirasi menjadi The Strongest Islamic Bank in Malaysia.
Pengiktirafan berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam trajektori pertumbuhan Bank Muamalat sebagai institusi kewangan Islam sepenuhnya, di samping mengukuhkan profil antarabangsa serta kepimpinannya dalam mempromosikan kewangan Islam berteraskan integriti, daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


