Bank Negara arah iPay88 tingkatkan kawalan keselamatan siber

Bernama
Oktober 7, 2022 12:56 MYT
BNM juga telah mengarahkan bank-bank dan syarikat pengeluar kad untuk terus mengekalkan tahap pengawasan yang tinggi terhadap aktiviti yang menggunakan kad yang mungkin berisiko. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia mengarahkan penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran iPay88 (M) Sdn Bhd untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan siber dan infrastruktur teknologi maklumatnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata berikutan selesainya penyiasatan forensik bebas berhubung kemungkinan insiden pelanggaran data yang diumumkan oleh iPay88 pada 12 Ogos, 2022, penyedia perkhidmatan tersebut telah mengambil langkah pembendungan dan pembetulan yang perlu bagi menangani masalah yang dikenal pasti.
"Kesemua langkah ini bertujuan untuk memastikan insiden yang sama tidak berulang dan untuk melindungi daripada ancaman pada masa depan.
"BNM akan terus memantau rapi pelaksanaan oleh iPay88 terhadap langkah-langkah ini dan sekiranya perlu, akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan selanjutnya," katanya.
BNM juga telah mengarahkan bank-bank dan syarikat pengeluar kad untuk terus mengekalkan tahap pengawasan yang tinggi terhadap aktiviti yang menggunakan kad yang mungkin berisiko, termasuk menghubungi pelanggan sekiranya sistem pemantauan mereka mengesan sebarang aktiviti kad yang mencurigakan.
"BNM ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem perbankan dan pembayaran di Malaysia kekal selamat dan terjamin.
Di bawah peraturan kad pembayaran sedia ada, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan jikaberlakunya penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran selagi pelanggan telah mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan kad pembayaran mereka.
Untuk maklumat lanjut atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui 1-300-88-5465 atau eLINK.
-- BERNAMA
#Bank Negara #keselamatan siber #iPay88 #hasil siasatan