Bank Rakyat menerusi syarikat tujuan khas, Imtiaz Sukuk II Berhad menandatangani perjanjian penubuhan program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion bagi tempoh 30 tahun.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Bank Muamalat, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad itu, dijangka bermula dalam waktu terdekat dengan saiz terbitan sebanyak RM500 juta.

Majlis menandatangani perjanjian berlangsung di ibu negara pada Jumaat, disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya harap program ini akan dapat diterima dengan baik, semalam saya dimaklumkan penerimaan setakat menggalakkan. Rating yang diberi juga sangat baik jadi saya yakin ia akan menarik perhatian masyarakat dan pelabur,” kata Wan Junaidi.

Program sukuk ini membolehkan bank memperoleh pendanaan jangka panjang dengan kadar tetap di samping mempelbagaikan komposisi pendanaan.

"Bank tiada masalah liabiliti, modal kita kuat, keuntungan 23%, walaupun dalam keadaan pandemik kita masih kukuh.

"Kita ada 5 juta pelanggan aktif, asas runcit kita pun memang dalam BBA, sebahagian besar Angkasa, kita berada dalam keadaan baik, walaupun kita juga terjejas tetapi seluruh dunia terjejas," kata Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Abdul Rani Lebai Jaafar.

Program ini juga merupakan satu pencapaian penting bagi bank rakyat, sekali gus mencerminkan langkah proaktif dalam pengurusan liabilitinya.