Syarikat British American Tobacco Bhd (BAT) akan menyusun semula operasi perniagaannya dengan mendapatkan produk tembakau untuk pasaran tempatan dari kilang-kilang BAT lain di rantau ini.

BAT, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata proses penstrukturan semula melibatkan penutupan kilangnya di Virginia Park, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut kenyataan BAT, proses penyusunan akan memberi kesan ke atas 230 pekerja dan akan diberikan pakej faedah serta opsyen untuk menjalani program peralihan kerjaya.

BAT berkata anak syarikatnya, Tobacco Importers and Manufacturers Sdn Bhd, akan mengurangkan operasi kilang secara berperingkat dan akan menyelesaikannya menjelang separuh kedua tahun 2017.

Harga saham BAT ditutup 28 sen lebih tinggi kepada RM55.32 sesaham pada semalam.