British American Tobacco Malaysia Bhd (BAT Malaysia) akan meneruskan kedudukan dan operasi di Malaysia walaupun kilangnya di negara ini ditutup, kata Pengarah Urusan Stefano Clini.

Beliau berkata hala tuju syarikat kekal sama dan akan terus melabur dalam jenama, kakitangan serta pekerja di samping meminimumkan kos.

"Keutamaan dan perancangan kami tahun ini akan terus menumpukan kepada pengukuhan portfolio dan membangunkan model perniagaan mampan dalam persekitaran operasi yang lebih mencabar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata firma itu sama ada akan menempatkan semula atau membangunkan sebuah kilang baharu di Malaysia.

Ia juga akan memanfaatkan sumbernya dari hab penyumberan sedia ada dalam kumpulan BAT seperti di Indonesia, Singapura dan Korea Selatan.

Pada 18 April, BAT Malaysia mengumumkan penutupan satu-satunya kilang syarikat itu di Virginia Park, Petaling Jaya, Selangor secara berperingkat, dan keseluruhan langkah itu akan selesai pada pertengahan 2017.

Mengenai perniagaan rokok haram di Malaysia, Clini berkata kerajaan sewajarnya mempertimbangkan moratorium ke atas eksais rokok sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga industri tembakau stabil.

Beliau berkata kajian oleh Nielsen mendapati perniagaan rokok tidak sah telah mencatat paras tertinggi 45.6 peratus, setakat Disember 2015.

Di Malaysia, satu daripada dua pek yang dijual adalah rokok kontraban (seludup).
.