BISNES

Batik Air perkenal laluan Ipoh-Singapura mulai hari ini

Bernama 08/12/2025 | 09:00 MYT
Loh menyambut 73 penumpang dari Singapura yang menaiki penerbangan sulung Batik Air sempena pelancaran laluan baharu Ipoh-Singapura Batik Air di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Syarikat penerbangan Batik Air memperluas laluan domestik apabila melancarkan perkhidmatan bagi laluan Ipoh-Singapura mulai hari ini.


Ringkasan AI
  • Batik Air melancarkan perkhidmatan laluan Ipoh-Singapura sebagai tanda pembangunan penerbangan dan pelancongan di Perak.
  • Penerbangan ini dijangka memberi manfaat ekonomi kepada pelbagai sektor tempatan seperti hotel, restoran, agensi pelancongan, dan perniagaan kecil di Perak.
  • Langkah Batik Air untuk menghubungkan Ipoh dengan Singapura menunjukkan komitmen syarikat dalam mengukuhkan kesambungan nasional dan menyokong pertumbuhan pelancongan jangka panjang Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata pelancaran tersebut menandakan satu lagi kejayaan pembangunan penerbangan dan pelancongan Perak.

"Laluan baharu ini mencerminkan keyakinan Batik Air terhadap potensi Perak dan tiba pada masa yang tepat ketika kita sedang memperhebat usaha mengukuhkan kedudukan Ipoh sebagai gerbang pelancongan antarabangsa," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran laluan Batik Air Ipoh-Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, Isnin.

Terdahulu, beliau menyambut ketibaan 73 penumpang pertama penerbangan Batik Air dari Singapura menerusi pesawat Boeing 737-800 pada pukul 11.30 pagi di LTSAS.

Pada masa ini, LTSAS mengendalikan penerbangan Scoot bagi laluan Ipoh-Singapura, perkhidmatan AirAsia bagi destinasi Ipoh- Johor.

Batik Air akan menawarkan penerbangan Ipoh-Singapura dengan kekerapan tujuh kali seminggu.

Loh berkata perkhidmatan baharu itu dijangka memberi manfaat besar kepada ekonomi tempatan.

"Lebih banyak penerbangan bermakna lebih banyak peluang untuk hotel, rumah inap, agensi pelancongan, pengendali pengangkutan, pemilik restoran, perniagaan kecil, usahawan kreatif, dan komuniti berkaitan pelancongan di seluruh Perak," katanya.

Beliau berkata perkembangan itu juga sejajar dengan strategi Perak yang lebih luas menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26).

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan lebih banyak pembukaan laluan destinasi tempatan serta antarabangsa menerusi Ipoh oleh syarikat penerbangan sedia beroperasi atau syarikat penerbangan lain memandangkan LTSAS telah dinaik taraf.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata perkhidmatan bagi destinasi Ipoh-Singapura merupakan penambahan penting bagi rangkaian pihaknya.

Beliau berkata langkah itu sekali gus mencerminkan komitmen Batik Air untuk menghubungkan bandar Malaysia yang pesat dengan pasaran serantau yang berkembang maju.

"Singapura kekal sebagai sumber pelancong terbesar ke Malaysia, dan menyediakan laluan terus ke Ipoh membuka peluang baharu untuk pelancongan, pertukaran perniagaan serta pembangunan komuniti.

"Pelancaran ini adalah sebahagian strategi lebih luas kami untuk mengukuhkan kesambungan nasional menjelang TMM26 dan menawarkan lebih banyak laluan terus serta mudah kepada pengembara di seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata menerusi langkah pelaburan bagi laluan seperti Ipoh-Singapura, Batik Air menyasar untuk menyokong pertumbuhan pelancongan jangka masa panjang, merangsang pembangunan negara dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang terhubung dengan baik dan sedia masa depan di tengah-tengah Asia Tenggara.

-- BERNAMA




#Batik Air #laluan Ipoh-Singapura #Pelancongan Perak #LTSAS