KUALA LUMPUR: Battersea Power Station memaklumkan bahawa Transport for London (TfL) telah mengumumkan dua stesen kereta api bawah tanah baharu di Sambungan Laluan Utara akan dibuka kepada orang ramai pada 20 Sept, 2021.

Stesen Kereta Api Bawah Tanah London Zon 1 di Battersea Power Station dan Nine Elms yang bebas tangga dijangka menambah baik kesalinghubungan antara kejiranan selatan dan seluruh London secara ketara di samping menyumbang kepada pemulihan ibu negara itu daripada pandemik.

Menurut kenyataan yang dikongsi menerusi SP Setia Bhd pada Khamis, stesen di Battersea Power Station dan Nine Elms akan menjadi stesen baharu pertama di Laluan Utara dalam tempoh 80 tahun sekali gus akan mempertingkatkan kesalinghubungan antara kejiranan selatan dan seluruh London.

“Sambungan Laluan Utara merupakan penyambungan pertama utama bagi kereta api bawah tanah pada abad ini dan menyokong kira-kira 25,000 pekerjaan baharu dan lebih 20,000 kediaman baharu.

“Selain itu, ia juga akan melonjakkan ekonomi United Kingdom dan menyokong 1,000 pekerjaan, termasuk 79 perantisan.

“Kawasan itu dijangka menjadi antara destinasi utama London dan menarik kira-kira 40 juta pengunjung setahun,” jelas kenyataan itu.

Menurutnya, Sambungan Laluan Utara merupakan pengubah bagi kawasan ini dan merupakan pencapaian yang amat besar dalam usaha penjanaan semula Battersea Power Station, yang akan menjadi antara pembangunan paling terhubung di London tidak lama lagi.

“Kami bersedia mengalu-alukan para pengunjung untuk menikmati kejiranan tepian sungai yang kami wujudkan, apabila stesen kereta api bawah tanah baharu Battersea Power Station dibuka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company, Simon Murphy.

Projek pembangunan bercampur Battersea Power Station merangkumi unit runcit, pejabat dan kediaman, dilengkapi Stesen Kereta Api Bawah Tanah London Zon 1 serba baharu bagi Laluan Utara dan perkhidmatan pengangkutan air oleh Thames Clippers.

Bangunan itu akan menampilkan lif serombong kaca, yang akan menawarkan pemandangan latar langit London 360 darjah.

Pembangunannya dimiliki bersama oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan sebanyak 20 peratus; Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi Sime Darby Property Bhd (40 peratus) dan SP Setia Bhd (40 peratus).

-- BERNAMA